SEJAK seminggu lalu, hubungan cinta membabitkan aktres, Anne Ngasri dan Aliff Aziz menjadi perhatian selepas Anne mendedahkan hubungan yang terjalin sejak awal tahun ini sudah berakhir.
Namun, Anne enggan mendedahkan puncanya dan menyebabkan ramai pihak beralih dan berharap untuk mendapat kenyataan daripada penyanyi yang kini popular dengan lagu Jangan Ganggu Pacarku itu.
Malah, jejaka berusia 21 tahun itu juga mengambil pendekatan untuk berdiam diri dan pihak pengurusannya, Sony Music Entertainment Malaysia telah mengeluarkan larangan kepada Aliff memberi kenyataan di media berkaitan isu berkenaan.
Bagaimanapun, Ahad lalu, Aliff terpaksa dikejarkan ke Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC) selepas mengadu sakit dada dan sesak nafas sebelum sempat membuat persembahan sempena PJ Half Marathon 2012.
Justeru, ramai pihak membuat spekulasi, bahawa Aliff jatuh sakit disebabkan terlalu kecewa selepas putus cinta minggu lalu.
Tidak mahu ramai pihak berteka-teki, Sony Music mengeluarkan satu kenyataan yang menegaskan hal kesihatan Aliff tidak ada kena-mengena dengan isu hubungan cintanya yang dikatakan sudah putus bersama Anne."Sidang media akan diadakan selepas Aliff kembali pulih untuk menjawab semua spekulasi yang melanda dirinya kini," menurut kenyataan itu.
Difahamkan, Aliff telah disahkan mendapat serangan palpilasi jantung (denyutan jantung tidak teratur) dan dinasihatkan doktor untuk berehat selama sebulan.
Bagi memastikan kesihatannya pulih sepenuhnya, Aliff telah di bawa pulang ke Singapura oleh keluarganya bagi mendapatkan rawatan susulan.
Pihak Sony Music juga berharap agar semua pihak mendoakan kesihatan penyanyi itu agar pulih seperti sedia kala.
0 Terima Kasih Diatas Komen Anda:
Post a Comment