18 July 2012

Syamsul teruja, Hanis berdebar



BUKAN mudah untuk keluar daripada bayangan bapa sendiri yang memang sudah diakui kehebatannya dalam arena seni, namun Syamsul Yusof membuktikan bahawa dia mampu berdiri atas namanya. Tidak seperti di awal pembabitannya dulu, Syamsul kini membawa jenamanya sendiri dan melakar kejayaan sendiri menerusi filem arahannya.
Menyusul dalam profil anak seni berusia 28 tahun ini, dia bakal ‘turun takhta’ menjayakan sebuah filem hasil kerjasama Skop Productions dan Excellent Pictures berlakon sebagai watak utama. Digandingkan pertama kali bersama pelakon kacak, Kamal Adli, turut dipertaruhkan dalam filem ini, seorang pendatang baru, blogger terkenal, Hanis Zalikha, 22.

Berbeza dengan Syamsul yang sudah jauh mencipta nama, Hanis sebaliknya pertama kali membintangi filem dan disebabkan populariti mendadak diraihnya, Ahmad Idham selaku pengarah yakin gadis ini mampu mencipta fenomena.

Timbul pula persoalan, kenapa Syamsul perlu menerima tawaran berkenaan dan adakah dia sedia berkerja di bawah pengarah lain sedangkan selama ini dia sudah cukup selesa di kerusi itu. Tidak ada masalah besar mengenai hal itu, Syamsul malah merasa teruja dengan projek berkenaan dan tidak sabar melihat hasil akhir filem itu.


“Bila sudah diletakkan dalam situasi ini, seperkara yang perlu saya lakukan adalah bersikap profesional. Namanya pun sudah bekerja, masing-masing kenalah menjaga peranan sendiri dan saya memang sudah bersedia sepenuhnya diarah tidak kisah Ahmad Idham mahupun pengarah lain.

“Saya sudah menetapkan had di mana lingkungan saya hanyalah pada skala lakonan diri sendiri saja. Jadi, tidak akan timbul soal ‘overshadow’ antara kami kerana itu adalah filem dan ideanya, maka segalanya perlu dihormati. Paling tidak pun jika tercetus sebarang pendapat, takkan saya hendak simpan saja, apa salahnya cuba utarakan kepada pengarah nanti,” jelas Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia ke-23 dan ke-24 itu.

Pada saat ini, nama Syamsul pastinya juga sedang meniti di bibir penonton terutama yang mengikuti drama bersiri Ameera di TV3. Akui Syamsul, dia juga merasai impak selepas membintangi drama berkenaan dan selesa berlakon di bawah pengarahan Murali Abdullah.

“Disebabkan lakonan dalam Ameera juga, saya mula dihujani pelbagai tawaran daripada produser luar dan ia sesuatu yang amat menggembirakan. Dalam banyak tawaran itu, memang ada yang benar-benar menarik perhatian saya apatah lagi ia datang daripada pengarah tersohor. Bagaimanapun, saya masih memilih tawaran yang benar-benar sesuai untuk saya.

“Biarpun banyak tawaran luar, ayah tiada halangan malah menggalakkan lagi supaya saya boleh belajar benda-benda baru daripada produksi luar. Sesekali berubah angin, saya pun ingin merasai bekerja dengan orang-orang baru dan produser lain,” katanya.

Mengakui sudah ada perancangan untuk menghasilkan filem baru, Syamsul yang berjaya mencipta kutipan pecah panggung menerusi filem seram, Khurafat, tidak teragak-agak memilih genre sama bagi projek seterusnya.

“Saya sudah bersedia untuk tampil dengan produk baru dan penggambarannya dijadualkan akan dijalankan selepas hari raya nanti. Sekali lagi, saya memilih genre seram untuk diketengahkan walaupun pada saat ini genre terbabit mungkin bukan pilihan utama penonton. Tetapi, saya anggap ia sebagai risiko kerana pada penghujungnya, penonton yang lebih bijak menentukan cerita apa mereka inginkan.

“Semakin lama terbabit dan mendalami bidang ini, apa yang ketara dengan penonton kita adalah mereka dahagakan kelainan pada jalan cerita terutamanya. Oleh kerana itu, saya mengambil pendekatan untuk tidak memikirkan sangat trend bermusim di mana penonton hanya tertumpu kepada sesuatu genre dalam satu tempoh.

“Bagi saya, kekuatan sebuah filem itu akan tercipta secara automatik apabila seseorang produser itu berjaya memilih pelakon, masa dan jalan cerita yang betul,” ujarnya.


Hanis berjaya dipujuk Ahmad Idham

LAIN pula kisahnya gadis kelahiran Shah Alam, Selangor ini. Baru saja menamatkan pengajiannya dalam bidang perniagaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Johor, pelajar kelulusan diploma ini tidak menyangka akan terbabit membintangi filem pula. Walaupun sudah membintangi sebuah drama yang disiarkan di TV3, Memberku Hawa sebagai watak pembantu, dia tidak terfikir untuk berlakon kembali.

“Kalau bukan kerana Ahmad Idham, saya tidak mungkin akan menerima tawaran berlakon dalam Gangster Celop. Dia berjaya meyakinkan dan memujuk saya bahawa watak terbabit memang sesuai kepada watak saya. Asalnya, memang saya tidak berani dan belum bersedia sehingga terpaksa mengambil masa untuk memberi kata setuju.

“Tambahan pula, mak juga memberi sokongan dan menyuruh saya cuba benda baru pula. Namun, biarpun sudah menerimanya, saya tetap rasa takut kerana bukan calang-calang peranan yang diberi, watak utama pula. Saya tidak tahulah bagaimana hasilnya nanti tetapi saya akan cuba menjadi diri sendiri dan melakukan terbaik.

“Lagipun, watak yang diberikan ada sedikit persamaan dengan diri saya dan yakin akan mampu melaksanakannya dengan bimbingan pengarah juga,” katanya.

Jarang terdedah dengan dunia glamor sebelum ini, ditanya sekiranya Hanis sudah bersedia untuk menjadi popular dan dikenali ramai, baginya dia cukup sedia.

“Dalam dunia hiburan mahupun realiti sekalipun, apa yang penting kita kena jadi diri sendiri. Tidak perlu bermuka-muka dan cuba menjadi orang lain. Maka apapun yang menimpa saya selepas ini, saya akan mencari jalan penyelesaian yang terbaik dan tidak perlu menyorok,” jawabnya.

Masih lagi belum puas menikmati zaman belajar, hos rancangan Mad Market di TV9 ini bercadang untuk menyambung pengajiannya dalam bidang perniagaan bila tiba masa nanti. Baginya, perniagaan itu sudah sebati dalam dirinya kerana ibu bapanya juga memang terbabit menguruskan perniagaan masing-masing.

“Saya tidak menetapkan untuk berada berapa lama dalam industri hiburan ini kerana perancangan masa depan nanti, saya masih menyimpan cita-cita menjadi ahli perniagaan,” kata pemilik blog www.inibelogsaya.blogspot.com ini.

0 Terima Kasih Diatas Komen Anda:

Post a Comment

1st page google ranking

Tapak Iklan Untuk Disewa

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites