15 August 2012

Cucu penyeri raya Man Kidal

Man Kidal bersama cucunya

KATA orang tua-tua, sayang seorang datuk kepada cucu selalunya lebih daripada sayangnya kepada anak. Kata-kata itu mungkin ada benarnya daripada apa dipamerkan gitaris legenda, Man Kidal, 48, yang akan meraikan sambutan Aidilfitri bersama cucu-cucu di rumah beliau di Damansara Damai, Kuala Lumpur.
Hasil perkongsian hidup dengan Nurlaila Yusof, 48, pemain handalan yang nama sebenarnya Rahman Mahmood itu, dikurniakan tiga cahaya mata - Mohd Sheflee, 29; Farah, 27, dan Nursyahira, 16. Man dan isterinya juga mendapat seorang menantu perempuan berbangsa Jepun, Siti Nurhaliza Kazuyo. 
Man dan Nurlaila kini ada empat cucu, tiga cucu lelaki dan seorang perempuan. Cucu lelakinya adalah Mohd Danial Aiman, 11; Elisya Matsushita, 4; Mohd Adam Maulana, 2, dan Issey Matsushita, setahun setengah. 







Nyata, di sebalik rambut panjang dan selalu dianggap serius di pentas, Man yang berjuang selama 30 tahun dalam permainan gitar sebenarnya seorang datuk yang sangat penyayang dan suka memanjakan cucu-cucunya.

Pada sesi fotografi itu tidak semua cucunya ada bersama kerana ada yang kurang sihat. Suasana tetap meriah dengan gelak tawa Elisya, Danial dan Mohd Adam.

“Inilah dunia saya kalau saya tidak ke mana-mana. Cucu-cucu saya semuanya sangat manja dengan saya. Memang terhibur tengok mereka kerana masing-masing ada telatah tersendiri terutama Adam yang mahu diberi lebih perhatian.

“Walaupun baru berusia dua tahun, Adam sudah menunjukkan kecenderungan beliau mengikut jejak langkah saya yang sukakan gitar. Tengok ni, dia dah pandai mempamerkan lagak memegang gitarnya, Ibanez dan bergaya macam kumpulan Wings!

“Perasaan sayang saya kepada cucu-cucu memang lain. Kalau mereka ada kami sekeluarga akan jadi seronok. Ada masa, saya membawa mereka mandi di kolam renang atau pun keluar bersiar-siar,” kata Man dengan gembira.

Man yang sudah berkecimpung lebih 30 tahun sebagai pemuzik, pernah bersama merakam album sulung Search bertajuk Cinta Buatan Malaysia. Selain aktif menjayakan pelbagai sesi persembahan dan memenuhi undangan mengiringi terlalu ramai artis tempatan, Man tetap kekal bersama Lefthanded.

Bercakap mengenai persiapan raya Aidilfitri, dia berkata, mereka akan pulang beraya ke kampung halaman di Skudai Kiri, Johor Bahru.

“Sudah dua tahun tidak pulang beraya. Biasanya saya akan mengambil ibu datang ke Kuala Lumpur, tetapi tahun ini kami beraya di Johor dan sudah menjadi kebiasaan menziarahi kubur arwah ayah bersama adik-beradik.

“Ada masanya, semangat mahu pulang beraya ke kampung halaman sangat kuat, tetapi kesesakan lalu-lintas yang teruk membuatkan saya tidak selesa meredah kesesakan selama berjam-jam. Kesesakan jalan raya sekarang begitu ketara dan tidak seperti beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya lagi.

Man berkata, setiap kali hari raya, rumahnya pasti dikunjungi rakan-rakan dari pagi sampailah ke tengah malam setiap hari.

“Biasanya, rumah saya sentiasa menjadi tumpuan dikunjungi saudara-mara dan rakan-rakan rapat terutamanya artis.

Antara mereka yang selalu datang adalah Amy Search, Joe Wings, Ramli Sarip, Yazit Lovehunter, Hassan Babylon, Yantzen Rusty Blade, Mohd Nor Hendrix dan semestinya anggota Lefthanded.

“Malah, sebelum hari raya, Fasha (Sandha) selalu datang membeli kuih tart nanas dibuat isteri saya. Kemeriahan raya sangat ketara kerana saat inilah kita dapat berjumpa saudara-mara dan rakan-rakan lama yang jarang dapat bertemu,” ujarnya.

Bagaimanapun, perasaan Man tiba-tiba terusik seketika dan termenung panjang apabila ditanya kenangan tidak dapat dilupakan menjelang lebaran.

Kemudian dia mula bersuara dan berkata, pemergian anak ketiganya, Nursyahida pada 1990 masih tidak dapat dilupakan hingga sekarang, malah sampai bila-bila pun.

“Anak ketiga saya meninggal dunia sewaktu berusia dua tahun dalam satu kemalangan di Karak. Kereta saya naiki bersama Laila dan Farah serta dipandu oleh Man Dayak (pemain dram Lefthanded), dilanggar kereta lain menyebabkan kami semua tercampak keluar.

“Saya cuba mendapatkan rawatan di klinik berdekatan, tetapi nyawa anak saya tidak dapat diselamatkan lagi. Memang sedih setiap kali terkenangkan tragedi itu, malah ia menyebabkan saya tidak bermain gitar selama dua tahun.

“Namun, saya reda dengan ketentuan Tuhan dan percaya ia ada hikmah buat kami sekeluarga,” katanya dengan terharu.




0 Terima Kasih Diatas Komen Anda:

Post a Comment

1st page google ranking

Tapak Iklan Untuk Disewa

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites