SAYA gadis berumur 20 tahun dan dikategorikan seorang yang cantik dan sentiasa menjadi bualan di tempat kerja. Saya baru mendapat kerja dengan gaji lumayan di syarikat perumahan swasta.
Di pejabat, saya mengenali Kak Intan dan dia memberitahu menginap di kondominium mewah yang dibayar syarikat. Apa yang menghairankan, Kak Intan tinggal serumah dengan bos tetapi memberi alasan bilik berbeza.
Ramai pekerja di pejabat mendakwa mereka sudah lama bersekedudukan, namun tiada siapa berani bertanya kerana boleh membuang sesiapa sahaja yang tidak disukainya.
Satu hari, Kak Intan mempelawa saya tinggal bersamanya kerana menurutnya, bos akan berpindah ke rumah lain. Saya terpaksa bersetuju selepas dipujuk berkali-kali walaupun dalam hati saya masih ada perasaan syak wasangka.
Sepanjang di kediaman itu, Kak Intan melayan saya dengan baik dan menganggap seperti adik sendiri. Selepas dua bulan, bos berpindah balik ke rumah itu dan saya tidak terdaya membantah. Pengalaman hitam saya bermula apabila satu malam Kak Intan mempersiapkan makan malam yang istimewa untuk saya. Tanpa disedari, Kak Intan memasukkan ubat tidur dalam minuman dan pada malam itu bos meniduri saya. Saya hanya mampu menangis mengingati arwah ibu, bapa dan tunang.
Saya ke pejabat setiap hari dan menganggap tiada apa yang berlaku walaupun terpaksa berhadapan dengan bos dan Kak Intan.
Kak Intan memberitahu ada mengambil gambar bogel saya ketika tidur untuk diberikan kepada bos. Dia mengugut saya jangan berpindah atau bos akan memberhentikan saya serta-merta selain menyebarkan gambar bogel itu.
Saya membenci Kak Intan tetapi terpaksa bekerja kerana ia punca pendapatan saya.
Tolonglah Dr, adakah saya patut berhenti kerja? Perlukah saya memberitahu kejadian sebenar kepada tunang saya? Saya takut tunang membatalkan perkahwinan jika tahu mengenai perkara itu.
Saya juga kasihan dengan gadis di pejabat itu yang mungkin menjadi mangsa bos melalui perantaraan Kak Intan. Apa patut saya lakukan?
Mangsa Bos
Masai, Johor
DR simpati dengan nasib menimpa adik. Mereka sepatutnya membimbing dan melindungi adik, bukannya berterusan mengambil kesempatan ke atas kecantikan adik. Kak Intan memang kejam kerana sanggup melakukan apa sahaja untuk kepentingan bos. Bos pula menggunakan kuasanya untuk memuaskan nafsu sendiri.
Situasi adik memang sukar. Jika memilih meneruskan kehidupan seperti sekarang, adik pastinya mendapat gaji lumayan tetapi kehilangan banyak perkara dalam hidup termasuk maruah diri, perasaan takut (gadis lain akan terjebak seperti adik) dan rasa bersalah terhadap tunang. Jelasnya, adik rasa tidak tenteram dalam hidup.
Tetapi, adik punya pilihan iaitu untuk berani melakukan sesuatu bagi memberhentikan lingkaran pusingan kehidupan yang membelenggu diri adik. Ini bermakna, adik perlu berani memilih untuk berpindah atau melaporkannya kepada polis.
Jika pilihan kedua adalah matlamat hidup, adik perlu mengorientasikan diri bahawa adik boleh mendapatkan pekerjaan lain. Adik perlu bersedia untuk tidak mendapat gaji setinggi yang diperoleh sekarang. Namun, jika adik seorang yang cekap bekerja dan ditambah dengan pengalaman kerja yang ada, peluang untuk memperoleh pekerjaan adalah tinggi.
Gunakan keyakinan diri dan pengalaman untuk beralih kerja lain. Setiap perubahan yang dilakukan dengan niat baik pastinya akan mendapat ganjaran yang juga baik.
Nampaknya, sudah berlaku elemen ugutan oleh Kak Intan dan bos terhadap adik dengan mengambil gambar seksi adik. Membiarkan ugutan itu bermakna adik mempersetujui tingkah laku mereka. Ini turut menyebabkan mereka lebih berani bertindak dan menganggap mereka boleh melakukan apa saja sesuka hati. Mengugut dan merogol adalah perlakuan jenayah dan jangan dibiarkan berterusan.
Semakin lama adik berterusan hidup begini, semakin sukar bagi adik untuk memberitahu perkara sebenar kepada tunang.
Jarak masa adik memberitahu tunang mengenai perbuatan bos terhadap adik itu turut memberi kesan kepada sejauh mana adik merelakan perbuatannya itu.
Satu lagi masalah yang adik hadapi iaitu selama mana adik boleh merahsiakan perkara ini.
Oleh itu, lebih baik dia mengetahui perkara ini daripada pengakuan adik sendiri, bukannya orang lain.
Jika tunang ikhlas, dia perlu menyelamatkan adik daripada perlakuan nafsu ganas bos adik itu. Namun, yang paling penting, adik sendiri perlu bersifat ikhlas untuk menyelamatkan perhubungan dengan tunang. Caranya ialah keluar daripada cengkaman Kak Intan dan bos serta memberitahu perkara sebenar kepada tunang. Pilihan adalah di tangan adik. Sering kali keputusan baik memberi kesan yang sukar pada peringkat awal tetapi amat baik dalam jangka masa panjang yang akhirnya menemukan individu pada dirinya sendiri.
0 Terima Kasih Diatas Komen Anda:
Post a Comment