04 October 2012

Hantu Kapcai 3 juta dalam masa 3 hari ditayangkan



Remy Ishak
MEMANG seram sejuk melihat kaunter tiket panggung tempatan akhir-akhir ini. Ramai produser mengeluh filem Malaysia mula memasuki zaman gerhana kerana kutipan mula merudum termasuk pada musim raya. Apakah peminat sudah mulai jemu menonton filem Melayu?

Nanti dulu. Mungkin tanggapan itu perlu dikaji semula. Hakikat ini kerana filem Melayu tidak terus merudum kerana tiba-tiba saja Hantu Kapcai muncul menjadi penawar kepada rasa cuak di hati karyawan filem.


REMY...memegang watak sebagai Tiger.

REMY...mencuba kelainan dengan peranan antagonis.

HAIRUL...diberi peluang pegang watak penting dalam Hantu Kapcai.

HAIRUL...mampu memegang watak pelumba dengan baik..

FIZZ FAIRUZ dan ZIZAN RAZAK membuatkan filem Hantu Kapcai bertambah lucu dan  menarik
 Filem komedi seram yang mempertaruhkan Zizan Razak, Fizz Fairuz dan Remy Ishak sebagai pelaris ini terus mendapat sambutan memberangsangkan apabila berjaya membolosi kutipan hampir RM3 juta selepas tiga hari tayangannya.

Angka itu terus meningkat dan terkini, pihak produksi memaklumkan bahawa kutipan filem sulung arahan Ghaz Abu Bakar ini sudah pun mencatatkan kutipan lebih banyak dan lebih menggembirakan apabila karya ini berjaya masuk ke minggu tayangan kedua.


Minggu ini makin ramai peminat berbaris di panggung wayang untuk berhibur dengan filem ini yang turut menampilkan Neelofa selain bakat baru Hairul Azreen yang dulunya bekas pelakon lagak ngeri.


Biarpun terpaksa bersaing dengan filem Hollywood seperti Looper, Hantu Kapcai masih berjaya menewaskannya apabila tersenarai di tangga pertama carta box-office filem yang ditayangkan dalam masa seminggu.

Apa yang pasti, Hantu Kapcai berupa sebuah filem yang mudah diterima dan mampu mengukir senyuman sebaik melangkah keluar dari dewan tayangan. Mungkin cerita sebeginilah yang cukup diinginkan penonton kita.

Nyata Hantu Kapcai juga ibarat penawar yang mengubati luka KRU Studios selepas kegagalan filem 29 Februari pada bulan lalu.

Mengutip kurang daripada RM500,000 di pawagam sedangkan kos pembikinannya jauh lebih mahal, teraju utamanya, Remy Ishak bagaimanapun tidak kecewa.

“Saya masih anggap 29 Februari sebagai filem yang hebat kerana ia sangat unik dari sudut pembikinan dan penceritaan. Memang ia gagal dari segi kutipan tiket dan kurang menerima sambutan, namun kita tidak sepatutnya mengatakan filem itu tidak berkualiti. Sebagai pelakon saya melihat 29 Februari mempunyai mesej yang tinggi.

“Cuma aspek perniagaan jangka pendek ia dianggap gagal namun saya tidak sesekali kecewa sebaliknya tetap berbangga dan bersyukur kerana berpeluang melakonkan watak utama dalam filem itu. 29 Februari adalah filem yang mencatat sejarah tersendiri dalam industri perfileman tempatan,” katanya.

Dalam Hantu Kapcai, Remy melakonkan watak antagonis iaitu sebagai Tiger. Dia bersyukur kerana doanya kali ini dimakbulkan apabila Hantu Kapcai berjaya mendapat kutipan pecah panggung yakni diterima dengan baik.

“Seperti mana pelakon, produser dan pengarah lain, mulanya saya memang risau melihat sambutan ke atas filem tempatan dan import pada ketika ini.
Bagaimanapun, selepas saya dikhabarkan bahawa Hantu Kapcai sudah melepasi kutipan RM1 juta dan seterusnya panggung semakin sesak, saya pun sangat bersyukur dan sangat gembira.

“Sebagai pelakon, saya sudah memberikan yang terbaik namun segala-galanya terpulang kepada penerimaan penonton. Sudah pasti kalau ada yang mengkritik apatah lagi ia tidak mendapat sambutan, saya juga akan berkongsi rasa sedih.
Namun untuk Hantu Kapcai yang mana percubaan pertama saya melakonkan watak jahat, saya bertuah kerana ia disukai penonton,” ujarnya lagi.

Bagi bintang baru yang kacak, Hairul Azreen, dia terharu kerana langkah pertama dalam filem turut ditonton ramai penggemar filem Melayu. Kesannya dia juga mendapat tempias apabila lakonannya dapat dinilai penonton.

“Peluang berlakon filem ini memang seronok namun seperti mana juga Remy, saya bimbang dan takut kalau-kalau penonton masih kurang datang ke pawagam.
Bagaimanapun apabila diberitahu kutipan dan sambutan hangat diberikan, saya terus bersyukur kerana Hantu Kapcai menyuntik nafas baru kepada industri perfileman Malaysia.

“Inilah percubaan pertama saya di layar perak dengan watak penting dan sudah pasti Hantu Kapcai saya sifatkan sebagai permulaan yang sangat memberangsangkan buat kerjaya lakonan saya. Kalau ikutkan sudah lebih tiga tahun saya menceburi bidang ini. Rezeki dan kepercayaan yang diberikan oleh Showbiz Productions untuk saya membintangi filem ini sangat-sangat saya hargai.

“Mungkin inilah jawapan pada persoalan apa lagi yang diinginkan penonton kita.
Sebuah karya ringan, komedi dengan suntikan seram yang dilakonkan pemain karektor terkenal seperti Zizan, Remy dan Fizz,” katanya.

Hantu Kapcai yang mengisahkan perjalanan seorang Mat Rempit, Ajib (Zizan Razak) yang terjebak dalam perlumbaan haram kerana kesempitan wang. Dalam perlumbaan itu, Ajib terpaksa berentap dengan musuh ketatnya, Tiger lakonan Remy Ishak.
Namun dalam persaingan itu nyawanya terkorban.

Lalu Roh Ajib yang tidak tenteram mula berlegar dan secara kebetulan ia mampu dilihat seorang pemuda Ibrahim lakonan cemerlang Fizz Fairuz. Walaupun sukar untuk mempercayai apa yang dilihatnya, Ibrahim perlu mencari jalan untuk meyakinkan keluarga Ajib mengenai roh yang dilihatnya itu.

Ibrahim juga bertanggungjawab untuk memberikan semangat kepada adik Ajib iaitu Akim untuk menuntut bela atas kematian abangnya sekali gus menebus semula hutang Ajib.

Tambah Hairul yang mula dikenali sebagai pelakon ‘stunts’ dalam siri Bionik sebelum diberikan peranan dalam Ponti Anak Remaja dan Indera Joned, kali ini fokusnya lebih banyak kerana Hantu Kapcai adalah pertaruhan sulung di pawagam.

“Inilah peluang terbaik yang diberikan Ghaz kepada saya. Syukur juga Zizan, Fizz dan Remy sendiri banyak membantu dan tidak henti-henti memberikan tunjuk ajar. Maklumlah saya masih terlalu baru untuk beraksi di depan kamera filem dan mereka semua selalu pastikan saya tidak tersasar jauh baik dalam aspek lakonan.

“Alhamdulillah saya bersyukur dan berterima kasih dengan peluang ini dan insya-Allah saya akan lebih berusaha lagi untuk percaturan akan datang,”
katanya yang akan muncul dalam filem Gila-Gila Remaja II dan Pak Pong tidak lama lagi.


0 Terima Kasih Diatas Komen Anda:

Post a Comment

1st page google ranking

Tapak Iklan Untuk Disewa

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites