04 October 2012

Wanita cedera ditendang penjenayah





TELUK INTAN - seorang wanita ditendang seorang lelaki tidak dikenali ketika menunggang motosikal seorang diri di persimpangan lampu isyarat di Jalan Maharaja Lela berhadapan kilang simen Tan Seng Huat.


Mangsa, Rafidah Abdul Manan berkata, ketika kejadian, dia baru dalam perjalanan ke Teluk Intan untuk membayar ansuran motosikal sebelum terlihat sepasukan polis sedang mengejar sebuah kereta berwarna merah.

Polis membawa suspek yang ditahan ke Balai Polis Teluk Intan untuk siasatan lanjut.



Menurutnya, ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat, tiba-tiba lelaki itu turun dari keretanya lalu menendangnya sehingga terjatuh di atas jalan, sebelum melarikan diri menggunakan motosikal miliknya.


"Pada waktu itu, kereta yang dipandu lelaki berkenaan berhenti selepas semua kenderaan di hadapan berhenti di lampu merah.

"Saya bergerak di celah-celah kereta yang berhenti dan secara tiba-tiba lelaki itu turun dari keretanya lalu terus menendang saya bertubi-tubi sehingga terjatuh," katanya kepada Sinar Harian.

Kata Rafidah, akibat kejadian itu, dia mengalami kecederaan di bahagian perut dan dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk menerima rawatan oleh anggota polis.



Rafidah bersama abangnya Dzulkifi keluar dari HTI selepas menerima rawatan pesakit luar.

"Saya bersyukur hanya menerima rawatan pesakit luar dan tidak mengalami kecederaan serius akibat ditendang penjenayah beberapa kali sehingga terjatuh," katanya.

Dalam kejadian jam 4 petang semalam, suspek dalam lingkungan 30-an dikejar sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung selepas tidak memberi kerjasama ketika ditahan kerana memandu sebuah kereta yang dilaporkan hilang di Kuala Kangsar.

Timbalan Ketua Polis daerah Hilir Perak, Superintenden Mohd Zaki Harun berkata, suspek disyaki mencuri kereta jenis Honda Accord di Kuala Kangsar dan mengubah nombor pendaftaran kenderaan itu sebelum melarikan diri ke Manjung.

Katanya, setiba di Manjung, suspek ditahan polis di sana, tetapi enggan memberikan kerjasama sebelum memecut kereta berkenaan menghala ke Teluk Intan.

"Menyedari beberapa anggota polis keluar dari kereta peronda untuk menangkapnya, suspek bertindak menendang perut dan menjatuhkan seorang wanita yang kebetulan memberhentikan motosikalnya berdekatan kereta dipandu sebelum melarikan kenderaan itu ke arah Kampung Banjar – Kampung Selabak.

"Suspek berjaya ditahan dua anggota polis cawangan Anti Nakotik IPD Teluk Intan yang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan tersebut," katanya.

Kata beliau, hasil soal siasat, pihaknya mendapati suspek berasal dari Terengganu dan mempunyai 10 rekod jenayah lampau dalam kes dadah manakala ujian awal air kencing ke atasnya menunjukkan dia positif heroin.

Kata beliau, kes disiasat di bawah Seksyen  392 Kanun Keseksaan dan suspek turut dirujuk ke IPD Manjung serta IPD Kuala Kangsar untuk tindakan lanjut.

0 Terima Kasih Diatas Komen Anda:

Post a Comment

1st page google ranking

Tapak Iklan Untuk Disewa

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites