BERSAING hebat. Kumpulan Jambu dan Saywho menunjukkan daya saing untuk melangkah ke final Maharaja Lawak Mega 2012. |
PROGRAM Maharaja Lawak Mega 2012 yang masih berbaki tiga minggu lagi sebelum aksi pentas final di Johor Bahru, Johor nanti menyaksikan peserta tempatan, Jambu terus mendapat perhatian peminatnya setiap minggu.
Mana tidaknya, lawak Jambu setiap minggu sentiasa menarik perhatian sehingga membuat penonton tidak kering gusi sehingga tahap mengalirkan air mata dengan keletah dua ahli kumpulannya iaitu Taukeh dan Yus.
Zamatul Amri Zakaria (Taukeh) dan Yussy Edoo (Yus) yang masing-masing berumur 37 tahun itu sering tampil dengan pakaian merah jambu ketika beraksi kini merupakan saingan terdekat kumpulan Jozan yang dianggotai oleh pelawak terkenal Zizan Razak dan Johan yang sentiasa berada di kedudukan pertama.
Jambu mula dikenali ketika menyertai pertandingan Maharaja Lawak pada tahun 2010 telah berjaya mendapat tempat di hati peminat dalam program Maharaja Lawak Mega 2012 apabila sentiasa membawa lawak lucu dan kelainan setiap minggu.
Tidak kurang hebatnya juga kumpulan pelawak dari Indonesia, Saywho yang tampil buat kali kedua selepas program yang sama tahun lepas dengan mendapat tempat ketiga.
Saywho yang dianggotai oleh Eko Sugiyanto (Eko), 27, Muhammad Abdi Zein Bancin (Bocil), 29 dan Refika Novianti Faturohman (Vicha), 24, turut kini memberi saingan kepada kumpulan tempatan untuk merebut tempat pertama dengan hadiah bernilai RM500,000.
Setiap minggu, Saywho cukup pandai mengambil hati pengundi dalam kalangan penduduk di negara ini apabila sering mengetengahkan watak-watak yang dekat dengan hati penonton walaupun mereka dari Indonesia.
Membuat mimik watak seumpama Datuk K. Rajagopal, Wan Zack Haikal dan beberapa individu terkenal yang lain termasuk pandai meniru dialek penduduk negara ini terutama Kelantan merupakan senjata Saywho yang telah berjaya memancing undi penonton dan juri.
Kedua-dua kumpulan itu sedang bekerja keras untuk menampilkan lawak yang bernas dan mencuit hati apabila pertandingan program ini sudah berbaki tiga minggu lagi.
Tolak semua kerja
Disebabkan ingin menumpukan sepenuh perhatian kepada Maharaja Lawak Mega 2012, kumpulan Jambu terpaksa menolak sebarang tawaran kerja untuk berlakon filem, drama mahupun telemovie.
Mereka terpaksa berbuat demikian disebabkan ingin mengambil pengajaran terhadap kekalahan pertandingan Maharaja Lawak 2010 disebabkan kering idea pada beberapa minggu terakhir.
Kata Yus, Jambu memang mengambil pengajaran terhadap perkara itu dan mereka telah menolak semua tawaran sebarang penggambaran dalam tempoh dua bulan ini kecuali jemputan persembahan.
"Sepanjang pertandingan ini kami memang tolak sebarang tawaran, jemputan persembahan sahaja kami terima sebab ia hanya ambil masa sejam dua jam saja," ujarnya ketika selepas Maharaja Lawak Mega 2012 minggu ketujuh di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
"Dulu disebabkan sibuk, saya dan Taukeh jarang bertemu untuk mengatur persembahan kami setiap minggu, jadi idea lawak yang dibuat datang ketika latihan sebelum pertandingan sahaja," jelasnya yang berasal dari Perlis.
Bekas juara Raja Lawak musim pertama ini juga berharap perkara tersebut (kering idea) tidak berulang lagi pada pertandingan kali ini kerana dia dan Taukeh lebih mempunyai banyak masa untuk mencari idea dan berlatih.
"Idea selalu datang ketika berborak dengan Taukeh, kami tiada masalah untuk mengolah idea itu untuk menjadi satu lawak yang baik setiap minggu," katanya yang telah mengenali Taukeh sejak 12 tahun dahulu.
Serasi dengan Yus
Taukeh pula mengharapkan kegagalan memberi persembahan konsisten pada pertandingan Maharaja Lawak 2010 tidak lagi berulang.
Pada pertandingan itu, Jambu telah mempamerkan persembahan yang membanggakan pada minggu terawal tetapi pada minggu-minggu terakhir mereka seolah-olah kering idea.
"Kali ini kami memang betul-betul nak tumpu kepada pertandingan, dulu masa agak suntuk, jadi kali ini harap tiada masalah kering idea lagi, kami betul-betul nak fokus.
"Kami akan gunakan segala pengalaman dan kemahiran untuk membuatkan semua penonton terhibur, ini bukan soal hadiah kemenangan RM500,000 tetapi kami akan bangga apabila ada orang terhibur dan tergelak sakan bukan hanya senyum sahaja," jelasnya.
Menganggap Yus sebagai seorang yang berkarakter, Taukeh bersyukur kerana rakannya itu adalah seorang yang seusia dengannya kerana beranggapan mereka akan memahami antara satu sama lain.
"Sebab kami sama usia, jadi kami boleh bertepuk tampar secara automatik kami boleh tahu apa yang tidak boleh kami buat apa yang boleh kami buat lawak satu sama lain," ujarnya.
Tambah Taukeh, persahabatan dirinya dengan Yus bukan sahaja di atas pentas sebaliknya terus berlanjutan sebaliknya sehingga ke hari ini.
Mengenai hadiah kemenangan yang begitu besar pula, Jambu sepakat untuk tidak meletak nilai itu sebagai batu lonjatan untuk mereka berjaya.
"Masuk pertandingan ini bukan sebab hadiah tetapi ingin memberi penghargaan kepada peminat tempatan yang sentiasa menyokong kami," ujarnya.
Katanya lagi, Jambu tidak mengejar hadiah kerana jika mereka menang disebabkan niat berkenaan akan menyebabkan Tuhan akan meredai kemenangan mereka.
"Jambu naik pentas nak pastikan orang tergelak, kalau gelak orang kurang mesti ada yang tidak kena, nak pastikan orang ketawa bukan sekadar senyum itu misi kami, kalau penonton nilai kami disebabkan bakat kami, insya-Allah kami akan selalu dalam industri bukan disebabkan hadiah," jelasnya.
Rahsia Saywho
Selain Jambu, Saywho turut dekat dengan hati rakyat Malaysia, khususnya peminat Maharaja Lawak Mega 2012.
Bakat tiga anak muda iaitu Eko, Bocil, dan Vicha sudah diketahui apabila menyertai pertandingan program ini tahun lalu dan kembali lagi kali ini dengan lawak yang lebih segar.
Mencungkil rahsia mereka, Vicha mendedahkan, sepanjang pertandingan berlangsung mereka berada di negara ini dengan menyewa sebuah pangsapuri di Damansara, Kuala Lumpur.
"Kami semua baca surat khabar dan program TV di Malaysia, kami juga berjalan-jalan di pusat beli-belah untuk melihat gelagat penduduk di sini, itu membuat kami sering buat lawak yang dekat dengan penonton Malaysia," ujarnya.
Ujar Vicha lagi, ketika demam bola sepak baru-baru ini juga, mereka bertiga turut menonton pertandingan itu di stadium bersama peminat bola sepak tempatan yang lain bagi mencari idea lawak yang terkini dan mengikut keadaan semasa.
"Sekarang juga kami sudah banyak bertutur dalam dialek Malaysia bagi memudahkan penonton memahami apa yang kami cakap," ujarnya yang menerima kritikan juri pada tahun lalu yang tidak memahami lawak kumpulan mereka dengan hati terbuka.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0104&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm#ixzz2GwHeenXE
0 Terima Kasih Diatas Komen Anda:
Post a Comment