04 January 2013

Seronok menjahit tanpa upah wang

SEBAHAGIAN ahli GMJ yang hadir ke kelas jahitan di Shah Alam baru-baru ini.

HOBI atau minat dalam sesuatu bidang boleh menghasilkan sumber pendapatan yang lumayan. Maka, tidak hairanlah sekiranya seseorang itu sanggup berhenti kerja semata-mata mahu menumpukan perhatian 100 peratus terhadap hobi yang membawa pulangan wang yang lumayan.

Berbeza pula dengan ahli-ahli kelab Geng Mesin Jahit (GMJ) yang mempunyai kepakaran dalam bidang jahitan pakaian dan produk berfabrik. Mereka sanggup menyumbangkan masa, tenaga dan hasil kreativiti mereka tanpa mengenakan sebarang caj, kerana yang penting adalah kepuasan peribadi.

Kelab yang baru berusia setahun itu ditubuhkan menerusi laman sosial Facebook dengan nama akaun Kusarungkan Kasih.

Aktiviti kumpulan penjahit bermotivasi tinggi itu sememangnya mendapat penyertaan menggalakkan dari seluruh negara walaupun ia tidak menjanjikan sebarang pulangan kepada individu terlibat.

Objektif GMJ sangat jelas. Mereka mahu menghulurkan bantuan dengan menjahit pakaian, sarung bantal dan sarung kotak pensel kepada kanak-kanak yang kurang bernasib baik.

Bagi seorang ahli, Wan Shamsiah Yahya, 53, menjadi suri rumah sepenuh masa tidak menghalangnya untuk tampil membantu golongan yang memerlukan.

Atas dasar prihatin, wanita yang berasal dari Terengganu itu membuat keputusan untuk menyertai kelab tersebut dengan melakukan kerja-kerja menjahit pakaian dari rumah.

Bercerita mengenai dirinya, dia yang mula berminat dalam bidang jahitan sejak berusia lapan tahun mengakui pada usia itu dia sudah pandai menjahit jahitan lurus dengan menggunakan mesin jahit tanpa bimbingan ibunya.

Berbekalkan minat yang mendalam, akhirnya selepas dua tahun, Wan Shamsiah sudah mahir menjahit kain langsir biasa.

"Ketika itu, kain langsir yang dijahit biasa sahaja yang memerlukan jahitan lurus," katanya yang ditemui Kosmo! di kediamannya di Shah Alam.


 Berkat kesungguhan

Berbekalkan minat yang mendalam, wanita itu kini bukan sahaja mempunyai kemahiran menjahit kain langsir malah selimut, sarung kusyen dan beg.

Namun, bakat yang ada kepada wanita separuh usia abad itu hanya digunakan untuk keperluan diri sendiri dan membantu kawan-kawan yang memerlukan khidmatnya.

Begitupun, Wan Shamsiah mengakui bahawa dia tidak mendapatkan tunjuk ajar dari mana-mana pihak sebaliknya mengambil inisiatif mempelajari selok-belok bidang jahitan dengan melayari internet.

Menerusi medium maya itu, Wan Shamsiah menemui laman web GMJ. Keunikan kelab tersebut telah membuatkan suri rumah tersebut terpanggil untuk menyertainya.

Ibu kepada tiga orang anak itu mengakui objektif kelab tersebut sememangnya berbeza berbanding pertubuhan lain kerana ahli-ahli hanya perlu menjahit dari rumah dan menghantar bahan material itu semula kepada kelab berkenaan melalui pos.

"Ia sungguh mudah dan setiap hasil jahitan yang disiapkan itu disalurkan kepada kanak-kanak yang memerlukannya," ujarnya.

Cerita Wan Shamsiah lagi, setiap kali mendapat tempahan, dia sememangnya tidak sabar untuk menyiapkannya dengan segera.

"Apabila melihat senyuman mereka, ia sudah memadai," katanya sambil memberitahu hanya mengambil masa 15 minit untuk menyiapkan sehelai sarung bantal.

Sementara itu, seorang lagi ahli GMJ, Siti Aishah Sadri, 33, mengakui pada mulanya kemahiran menjahitnya cuma dalam pembuatan baju kurung.

Bagaimanapun, selepas menyertai kelab berkenaan, skilnya berkembang merangkumi jahitan sarung kotak pensil, sarung bantal telekung dan banyak lagi.

"Sebelum menyertai GMJ, saya tidak belajar membuat semua itu kerana produk-produk itu tidak digunakan untuk keperluan diri sendiri.

"Sejak menyertai persatuan ini, kami dikehendaki menjahit sesuatu yang lain. Maka, mahu atau tidak, saya perlu belajar," ungkapnya yang mengikuti sesi tutorial secara langsung dalam laman web GMJ.

Walau bagaimanapun, ibu kepada tiga anak orang itu mengakui dirinya tidak sia-sia menyertai kelab berkenaan lantaran seronok menimba ilmu pengetahuan dalam bidang jahitan dengan lebih mendalam.

Siti Aishah juga memberitahu, persatuan itu merupakan platform terbaik buatnya untuk berkongsi kemusykilan mengenai jahitan.




"Apa yang saya pelajari, selain menghulurkan bantuan berbentuk kewangan, sebenarnya kita boleh membantu orang kurang bernasib baik melalui pelbagai cara," tuturnya yang gembira kerana berpeluang melakukan kerja-kerja amal.

Doktor suka menjahit

Seorang lagi ahli GMJ yang dihubungi Kosmo! mempunyai latar belakang menarik. Merupakan Pakar Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr. Nurul Kharmila Abdullah merasakan jadual tugas hakikinya tidak menjadi halangan untuk dia berbakti kepada masyarakat.

"Saya minat dalam jahitan sejak berusia sembilan tahun namun selepas mempunyai anak, minat terhadap jahitan terbantut buat seketika kerana mahu memberikan perhatian sepenuhnya kepada mereka," katanya.

Begitupun, selepas anak-anak telah mula ke sekolah, minatnya itu timbul semula memandangkan perlu menjahit lencana sekolah dan mengubah suai seluar anak-anak.

Justeru, bagi memperbaiki mutu jahitannya itu, Nurul Kharmila melayari laman web dan akhirnya menemui kelab GMJ yang menawarkan tutorial jahitan dalam laman web kelab tersebut.

"Aktiviti menjahit semakin mudah dan pada masa yang sama saya boleh melakukan aktiviti amal," ungkapnya.

0 Terima Kasih Diatas Komen Anda:

Post a Comment

1st page google ranking

Tapak Iklan Untuk Disewa

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites