12 June 2012

5 pekerja disambar api

TANYA KHABAR...seorang mangsa menceritakan kejadian kepada keluarganya.

SAKIT...dua mangsa dibawa menaiki ambulans ke hospital.

MIRI: Lima pekerja syarikat Petronas Carigali di perairan Tukau, kira-kira 31 batu nautika dari kuala Sungai Miri, di sini, cedera termasuk seorang melecur 70 peratus badan selepas pemampat udara di pelantar minyak itu terbakar, semalam.
Dalam kejadian jam 9 pagi itu, dua daripada mangsa yang cedera ialah kakitangan Petronas Carigali manakala tiga yang lain pekerja kontrak yang menyelenggara pelantar berkenaan.

Mangsa yang melecur 70 peratus di badan dikenali Bernad Christopher, 39, manakala empat mangsa lain ialah Mohd Syahrizal Yusop, 27; Joseph Brandah Buar, 25; Stephen Anyi, 50; dan Saberi Khan Abdul Ghani Khan, 40.
Semua mangsa diterbangkan dengan helikopter dari tempat kejadian ke Terminal Dua, Lapangan Terbang Miri, sebelum dibawa menggunakan ambulans ke Unit Kecemasan Hospital Miri, jam 12.45 tengah hari bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Jurucakap hospital berkata, Bernad melecur hampir 70 peratus di bahagian badan manakala empat lagi dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Sehingga kini, semua mangsa masih berada di Hospital Miri dan difahamkan keluarga mangsa sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu.
Sementara itu, Setiausaha Politik Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Sebastian Ting yang turut meluangkan masa melawat mangsa di hospital itu berkata, juruteknik yang mengalami kecederaan kritikal masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Mangsa yang melecur teruk itu masih ditempatkan di ICU dengan kakitangan perubatan mengkategorikan tahap kelecuran mangsa pada tahap satu,” katanya.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika semua mangsa melakukan kerja rutin, namun mereka tiba-tiba disambar api yang merebak terlalu pantas.

Sementara itu, jurucakap Petronas Carigali berkata, kebakaran dikawal sepenuhnya jam 10.05 pagi dan pihaknya masih menyiasat punca sebenar kejadian.





0 Terima Kasih Diatas Komen Anda:

Post a Comment

1st page google ranking

Tapak Iklan Untuk Disewa

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites