Wajah harimau, tatarias gila-gila dan mimik-mimik yang menggerunkan adalah antara lakaran pelbagai jenis karakter hasil kerja tangan Bunga.
Gadis berusia 23 tahun ini ada cara tersendiri untuk menangani kebosanan yang dihadapi. Window shopping, layari Facebook, tidur sepanjang waktu dan menonton televisyen bukanlah cara si cantik manis, Noor Ezzreen Abdu Razak lakukan sebaliknya dia akan merias wajah sendiri dengan pelbagai jenis karakter antaranya harimau, kucing dan banyak lagi.
Noor Ezzreen Abdu Razak
Menurut anak jati Hulu Langat, Selangor ini, tiap kali rasa bosan bertandang, dia akan capai alat mekap dan terus conteng pada muka. Dia mengumpamakan wajahnya sebagai sehelai kertas putih yang bebas untuk dilakarkan apa sahaja di atasnya. Segala macam warna ada pada muka Bunga. Ada warna biru, merah, hijau, kuning dan tidak terkecuali warna kegemaran ramai iaitu pink.
Menariknya, lakaran yang dibuat Bunga bukan sekadar contengan biasa sebaliknya ada bentuk yang terhasil. Sekali imbas ada wajah beruang, tupai dan ikan yang cantik dan kiut-miut. Ada juga riasan wajah yang dilakukan Bunga tampak ganas dan amat menakutkan. Kata
Bunga, mekap sebegini senang untuk dilakukan kerana ia menjimatkan dari segi penggunaan warna.
Ekoran sering kali melakukan teknik menata rias wajah, kini Bunga telah menjadikannya sebagai hobi utama pada masa lapang. Setiap kali ada masa, dia akan rias wajah mengikut imaginasinya. Kemudian, hasil riasan wajah tersebut diletakkan di laman sosial Youtube dan Facebook atas permintaan rakan-rakan. Bermula dari situ hasil solekan Bunga kian mendapat tempat di hati masyarakat.
Ramai yang ingin mendapatkan khidmatnya sebagai jurusolek. Ada yang inginkan lakaran wajah bertemakan haiwan kesayangan seperti kucing. Ada juga yang mahukan wajah di mekap dengan rupa menakutkan semata-mata mahu memenuhi kehendak majlis yang dihadiri.
Kebolehan luar biasa itu bagaikan rezeki buat graduan Kolej Masterskill ini. Sesungguhnya Bunga begitu bersyukur sekali.
Tengok adik, minat terus datang
Cerita Bunga, kemampuannya menata rias wajah dengan pelbagai karakter bukanlah disebabkan dia sering berdampingan dengan alat mekap. Kebolehan tersebut datang dengan sendiri setelah melihatkan adik perempuannya yang sering dipuji cantik kerana pandai berdandan.
"Dari dulu Bunga tidak gemar bersolek. Rimas dibuatnya jika tempek bedak dan pakai gincu. Tetapi ketika menuntut di tingkatan empat, saya pelik sebab wajah adik sering dipuji kerana pandai bersolek.
"Sejak itu, Bunga cuba tiru apa yang telah adik lakukan. Mula-mula pakai eyeliner, blusher dan segala macam mekap lain. Pertama kali rias wajah, ramai cakap rupa saya macam badut dan hantu, tapi bagi saya ok je solekan tersebut.
"Dari situ, saya mula serasikan diri dengan alat-alat solek dan semakin seronok untuk bermekap. Macam-macam yang saya lukis di muka yang akhirnya membuatkan saya berkemampuan melakar apa jua benda," katanya panjang lebar.
Tiap kali ingin bermekap, Bunga beritahu, dia lebih senang melakukannya di rumah kerana ia lebih selesa. Tetapi jika ada pelanggan yang ingin dapatkan khidmat solekan, Bunga lebih selesa mekap di kawasan taman kerana tenang dan luas.
Biasanya, Bunga akan membawa alatan mekap, satu botol mineral dan mangkuk kosong untuk melembapkan span sebelum memulakan solekan. Sepanjang bersolek, ramai pelanggan yang sukakan cara Bunga yang penuh kelembutan. Oleh itu, tidak hairanlah Bunga kini kian dikenali ramai orang disebabkan kebolehan dan keistimewaan yang sukar ditemui pada jurusolek lain.
Keluarga pendorong utama
"Keluargalah yang banyak bagi kata-kata semangat untuk Bunga teruskan minat menconteng muka ini.
"Tidak ketinggalan rakan-rakan yang cukup setia menyokong kebolehan Bunga. Tanpa mereka, mana mungkin Bunga boleh capai tahap seperti sekarang ini," ujarnya.
Kata Bunga, dia hanya belajar sendiri aktiviti menconteng muka. Menyedari diri ada bakat, Bunga merasakan dia perlu mengambil kelas solekan untuk memperkembangkan bakat sedia ada itu. Kelas pertamanya adalah kelas solekan Cikgu Fisol Husin dan Cikgu Suhaib Daud.
Melalui kelas ini, Bunga belajar banyak perkara berkaitan tatarias wajah.
Rujukan di Youtube dan beberapa blog yang menawarkan maklumat sama turut dipelajari dan dipraktikkan oleh Bunga.
Ujar Bunga, idolanya dalam bidang solekan adalah Michelle Phan, seorang mekap artis yang sangat popular di Youtube.
"Hasil solekan dia sangat cantik, moden dan style! Percaya atau tidak, dengan hanya mengupload video di Youtube sahaja, dia kini sudah menjadi duta kepada produk Lancome.
"Jika ada rezeki, mungkin Bunga juga boleh jadi seperti dia," ujarnya dengan mempelawa pembaca Sinar Harian melayari Facebook https://www.facebook.com/pages/Own-Love-Bunga-Querida/,
0 Terima Kasih Diatas Komen Anda:
Post a Comment