Zizan bersama krew yang terlibat dalam menjayakan program Travelog ini.
Sebagai artis yang giat mencipta nama, pelawak dan pengacara popular, Mohd Razizan Abd Razak atau Zizan Razak, tidak pernah terlepas daripada kontroversi dan gosip yang boleh menjatuhkan kariernya.
Pernah dituduh tidak komited terhadap promosi filem lakonannya, Zizan, kini membuat keputusan untuk menerima tawaran tertentu sahaja dalam satu masa.
"Tuduhan kononnya saya gagal memberikan kerjasama untuk promosi filem adalah disebabkan saya mengambil tawaran banyak dalam satu masa.
"Jadi, saya tak sempat nak hadiri kesemuanya. Sebab itulah saya akan menolak tawaran lain sekiranya tawaran sedia ada masih belum selesai.
"Saya tidak selektif dalam memilih tawaran. Tapi, saya tidak mahu perkara ini dibangkitkan semula. Lagipun, ia juga bersangkut-paut dengan masalah kesihatan yang terjadi kepada saya sebelum ini," ujarnya yang kini sibuk mempromosikan filem Hantu Kapchai serta membuat persediaan untuk pertandingan Maharaja Lawak Mega 2012.
Kongsi pengalaman di Jepun
Tidak mahu terlalu memikirkan kontroversi yang menimpanya, juara Raja Lawak musim pertama ini di Astro, ini semakin bijak mengatur karier seninya.
Selain membintangi beberapa filem, kariernya dalam dunia pengacaraan juga bertambah baik. Terbaru programnya, Jejak Jepun Bersama Zizan yang ditayangkan menerusi Astro Prima setiap Rabu, jam 9 malam, bermula 12 September lalu, mendapat reaksi positif dari peminatnya.
"Sejak kecil, saya ingin menjejakkan kaki ke Jepun. Saya suka apa saja berkaitan negara itu.
"Alhamdulillah, akhirnya impian saya tercapai selepas ditawarkan menjadi pengacara program travelog ini," katanya.
Zizan berkata, pengalaman pertama mengacarakan program travelog itu memberi dimensi baru kepadanya.
"Program enam episod berkonsepkan diari kembara ini memberi peluang kepada saya mengembara ke beberapa destinasi menarik di sekitar Jepun.
“Saya berpeluang mengunjungi Osaka,Tokyo, Kobe, Wakayama, Kyoto, Shirahama dan Yokohama. Antara destinasi menarik yang saya kunjungi termasuk Osaka Aquarium Kaiyukan. Ia adalah akuarium terbesar di dunia.
"Selain itu, saya juga berpeluang melawat istana yang dibina pada abad ke-16, Osaka Castle, menara paling tinggi di Jepun, Floating Garden, Muzium Sumo dan restoran Maid Cafe," katanya.
Rasa malu, hina
Mengakui teruja sepanjang berada di sana, pelantun Bawaku Pergi, ini bagaimanapun meluahkan rasa malu dan terhina setelah melihat gaya hidup masyarakat Jepun yang jauh lebih berdisiplin daripada masyarakat di Malaysia.
"Semasa saya ke taman tema Disneyland, Tokyo, untuk menyaksikan perarakan watak animasi, saya terkejut apabila tamat sahaja perarakan itu, langsung tiada sampah di kawasan itu.
“Bukan itu sahaja, ketika saya menghisap rokok dan membuangnya ke kaki lima, mereka mengambil puntung rokok itu dan membawanya pergi. Saya rasa sangat terhina kerana cara mereka sangat berbeza," katanya.
0 Terima Kasih Diatas Komen Anda:
Post a Comment