JEDDAH – Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan kejam Duta Besar Amerika ke Libya dan tiga pegawai pejabat konsul di Benghazi. Setiausaha Agung OIC, Prof Ekmeleddin Ihsanoglu berkata, beliau terkejut dengan tindakan keji itu, yang tidak boleh diterima atas sebarang alasan.
Christopher Stevens terbunuh apabila sekumpulan penunjuk perasaan menyerang pejabat konsul Amerika menggunakan roket pelancar bom, sebelum membakar bangunan berkenaan kelmarin.
Keganasan itu dikatakan berpunca daripada penerbitan sebuah filem yang menimbulkan kemarahan umat Islam.
Dalam kenyataannya, Ihsanoglu menyuarakan kebimbangan mendalam beliau berkaitan serangan terhadap kedutaan Amerika di Kaherah kerana membantah filem yang diterbitkan di Amerika itu.
Katanya, dua kejadian itu mempamerkan akibat buruk yang boleh tercetus daripada tindakan menyalahguna kebebasan bersuara, seperti yang sentiasa diberi ingatan oleh OIC.
Walaupun penerbitan filem berkenaan amat dikesali kerana boleh menyalakan api kemarahan, namun tindakan melakukan keganasan, yang meragut nyawa mereka yang tidak bersalah, juga tidak boleh diterima, katanya.
Dalam perkembangan yang lain di San Francisco, syarikat enjin pencari gergasi, Google yang juga pemilik laman perkongsian video Youtube, kelmarin menegaskan pendirian mereka untuk tidak memadam video menghina Nabi Muhammad SAW walaupun ia telah mencetuskan protes di kebanyakan negara di rantau Arab.
Dalam satu kenyataan, Google juga menolak tuntutan banyak pihak yang menggesa syarikat Internet gergasi itu untuk mengeluarkan video menyinggung perasaan orang Islam tersebut.
Menurut jurucakap Google, treler filem berdurasi 14 minit berjudul Innocence of Muslims dihasilkan oleh pengarah anti-Islam, Sam Bacile itu kononnya tidak melanggar polisi dan garis panduan Youtube.
Bagaimanapun, susulan daripada protes ganas pada Selasa lalu Google memutuskan untuk menyekat akses filem anti-Islam tersebut di Mesir dan Libya bagi tempoh sementara.
Difahamkan, di bawah prosedur Google, pengguna Youtube boleh melaporkan kandungan tidak senonoh atau tidak sesuai kepada kumpulan pemerhati syarikat itu di seluruh dunia.
Sehingga semalam, tiada sebarang tindakan diambil dan video tersebut telah ditonton lebih 122,000 pengguna.
Sementara itu, Ketua Pengarah di Kementerian Komunikasi di Afghanistan mengumumkan kerajaan memutuskan untuk menyekat akses video yang mempersendakan sifat Rasulullah tersebut.
“Tindakan itu diambil selepas Presiden Hamid Karzai mengutuk filem tersebut yang dianggap biadab dan menghina Islam. Ia juga bertujuan untuk mengelakkan tunjuk perasaan ganas merebak ke negara ini,” kata Aimal Marjan.
Afghanistan menjadi negara pertama menyekat akses video itu kerana khuatir insiden protes ganas awal tahun lalu akan berulang. Februari lalu, sekumpulan penunjuk perasaan mengadakan tunjuk perasaan yang akhirnya bertukar ganas sebagai membantah tindakan tentera Amerika Syarikat (AS) membakar al-Quran di penjara Bagram, utara Kabul.
Mencintai Rasulullah saw merupakan puncak kepada keimanan seorang Muslim. Dalam suatu hadis, tanda kemanisan itu ada tiga, dan salah satunya adalah apabila seseorang mencintai Allah dan Rasul-Nya melebihi dari cintanya terhadap yang lain. Justeru, menafikan tuduhan-tuduhan dan gambaran yang salah terhadap Rasulullah saw adalah bahagian dari mencintai Rasulullah.
Namun, niat tidak menghalalkan cara. Sewajarnya, protes dilakukan tanpa mengakibatkan kematian orang yang tidak bersalah. Apatah lagi, dalam keadaan umat Islam digambarkan secara salah dalam media massa sebagai orang-orang yang pengganas. Insiden keganasan ini malah akan menjadi bukti bagi orang bukan Islam bahawa Islam sememangnya agama pengganas. Semoga mereka mendapat hidayah.
Sumber: Sinarharian.com.my
0 Terima Kasih Diatas Komen Anda:
Post a Comment