01 September 2012

Waspada Terhadap Golongan Syaitan (Hizbusy Syaitan)


Aku berlindung kepada Allah daripada syaitan yang direjam.

Sejarah Bapa Manusia dan Bapa Syaitan



Sejak awal diciptakan manusia, Allah SWT telah menunjukkan dalam bentuk yang nyata kepada Nabi Adam AS bahawa musuh utama manusia adalah iblis laknatullah. Babak keingkaran iblis untuk sujud kepada Nabi Adam AS seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT telah menjadi titik tolak penentangan iblis terhadap manusia dan terhadap perintah Allah. Takabbur telah menjadi sifat Iblis yang utama sepertimana firman Allah:

“Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: “Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam”. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan iblis, ia enggan dan takabbur, dan menjadilah ia daripada golongan yang kafir.” (Al-Baqarah: 34)

Tiada siapa yang tahu hakikat kesombongan iblis sehinggalah Allah Yang Maha Mengetahui mencipta situasi sedemikian yang menonjolkan sifat keji iblis tersebut. Sifat yang dominan ini telah dikuatkan lagi dengan ungkapan iblis yang dinyatakan di dalam Al-Quran:

“Allah berfirman: “Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?” iblis menjawab: “Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah.” (Al-A’raaf: 12)

Ya, merasa dirinya lebih baik, lebih mulia. Aku lebih baik daripada dia. Aku begini, dia begitu. Sejak itu, iblis dilaknat Allah. Statusnya yang tinggi dalam syurga dicabut oleh Allah dan Allah menimpakan kehinaan ke atasnya.

“Allah berfirman: “Turunlah engkau dari Syurga ini, kerana tidak patut engkau berlaku sombong di dalamnya. Oleh sebab itu keluarlah, sesungguhnya engkau daripada golongan yang hina”.” (Al-A’raaf: 13)

Pun begitu, iblis tetap dengan kesombongannya yang dahsyat. Tanpa merasa bersalah, dia menyalahkan Allah. Iblis malah masih meminta kepada Allah agar dipanjangkan umurnya sehingga hari kiamat.

“Iblis berkata: “Berilah tempoh kepadaku hingga hari mereka dibangkitkan (hari kiamat)”. Allah berfirman: “Sesungguhnya engkau daripada golongan yang diberi tempoh (ke suatu masa yang tertentu)”.” (Al-A’raaf: 14-15)

Sedikitpun ia tidak mengakui kesilapannya, bahkan ia menuduh Allah atas kesesatannya, dan berikrar untuk menyesatkan umat manusia.

“Iblis berkata: “Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalan-Mu yang lurus. Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka, dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur”.” (Al-A’raaf: 16-17)

Misi iblis pun bermula, misi memesongkan umat manusia daripada jalan yang lurus. Misi yang melibatkan seluruh potensi yang ia miliki untuk mendatangi manusia daripada segenap penjuru. Misi membalas dendam kerana status kemuliaannya tercabut sejak penciptaan Adam AS.

Walaupun Allah telah menonjolkan permusuhan iblis terhadap manusia secara jelas terhadap Nabi Adam AS, tetap sahaja iblis berjaya melakukan tipu daya terhadap baginda. Kata-kata iblis yang manis, memujuk dan meyakinkan, telah membuatkan Nabi Adam AS terlanjur memakan buah yang dilarang oleh Allah di dalam syurga.

Iblis telah mengingkari perintah Allah untuk sujud kepada Nabi Adam AS, demikian pula Nabi Adam AS telah mengingkari Allah dengan memakan buah larangan, hasil tipu daya iblis. Namun, tidaklah sama sikap seorang Nabi dan seorang iblis terhadap keingkaran yang dilakukan. Adapun Nabi Adam AS, baginda bertaubat kepada Allah dan mengakui bahawa baginda yang bersalah kerana menzalimi diri sendiri.

“Mereka berdua (Nabi Adam AS dan isterinya Hawa) merayu: “Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi”.” (Al-A’raaf: 23)

Allah menerima taubat mereka, kemudian Allah hantar manusia ke dunia. Pada peringkat awal lagi, Allah telah berpesan untuk sentiasa berwaspada terhadap tipu daya iblis dan konco-konconya.

“Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari Syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka aurat mereka (yang sebelum itu tertutup). Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan Syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman.” (Al-A’raaf: 27)

Sejak itu, sentiasa ada perlawanan antara yang hak dan yang batil, yang benar dan salah.

Perlawanan yang tiada hujungnya

Sehingga usia dunia ini berakhir, iblis dan konco-konconya tidak pernah berhenti memesongkan manusia. Syaitan yang terdiri daripada kalangan jin dan manusia telah bergabung bersama-sama dalam misi global iblis yang mengambil masa sehingga usia bumi berakhir. Golongan-golongan syaitan terus direkrut untuk membantu usaha menyesatkan umat manusia. Ya, golongan syaitan yang terdiri daripada kalangan jin dan manusia!

“Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari Syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan dusta) itu.” (Al-An’am: 112)

Dalam buku Musnad Imam Ahmad, disebutkan hadith dari Abu Dzar RA, Rasulullah SAW bersabda yang ertinya, “Wahai Abu Dzar, mohonlah engkau kepada Allah perlindungan dari syaitan-syaitan dari jenis manusia dan jin.” Lalu kutanyakan, “Apakah ada syaitan dari jenis manusia?” “Ya,” jawab baginda.

Penghasutan, penyimpangan, pemesongan, dan segala upaya dilancarkan oleh golongan syaitan untuk menentang kebenaran dan meninggikan kebatilan. Bermula sejak perlawanan antara Habil dan Qabil di awal sejarah kemanusiaan, sehinggalah ke hari kiamat. Pasti tidak akan surut pertentangan antara hak dan batil, kerana iblis laknatullah telah berjanji akan memesongkan manusia sehingga akhir hayatnya (iblis).

Golongan-golongan syaitan terus memusuhi para nabi yang diutuskan. Nabi Nuh AS ditentang oleh kaumnya yang akhirnya didatangkan banjir besar untuk menghancurkan mereka. Nabi Ibrahim AS ditentang raja Namrud sehingga golongan syaitan mencampakkan baginda ke dalam marak api yang besar, Nabi Lut AS dengan kaumnya yang homoseks, Nabi Musa AS ditentang Firaun dan konco-konconya, Nabi Sulaiman berhadapan dengan puak-puak yang dipesongkan syaitan berupa penyembah matahari (kerajaan Puteri Balqis), Nabi Isa disalib, dan Nabi Muhammad SAW yang kita cintai juga tetap berhadapan dengan tipudaya dan kejahatan puak syaitan ini.

Setelah kewafatan Rasulullah SAW sebagai penutup kepada para nabi dan rasul, golongan syaitan tidak pernah terhenti dalam upaya menyekat kebenaran dan melaungkan perjuangan kebatilan. Dengan izin Allah, perlawanan itu terus wujud dan berlaku sehingga ke hari kiamat. Daripada siri-siri perlawanan itu, Allah membezakan antara hamba-hamba-Nya yang ikhlas dan mendapat petunjuk daripada mereka yang sesat termakan tipu daya syaitan.

Demikianlah kehendak Allah yang tiada siapa boleh persoalkan sama sekali. Dia tidak ditanya tentang apa yang Dia perbuat, kitalah yang akan ditanya tentang apa yang kita lakukan. Allah telah berjanji bahawa neraka itu pasti akan dipenuhi oleh sebahagian jin dan manusia.

“Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): “Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu), maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik, sesungguhnya kami sekarang telah yakin”. Dan (bagi menolak rayuan itu Allah SWT berfirman): “Kalaulah Kami telah tetapkan persediaan (memberikan hidayah petunjuk untuk beriman dan beramal soleh kepada tiap-tiap seorang dengan ketiadaan usaha dari masing-masing), nescaya Kami berikan kepada tiap-tiap seorang akan hidayah petunjuknya (sebelum masing-masing meninggal dunia, supaya tidak terkena azab di akhirat), tetapi telah tetap hukuman seksa dari-Ku. Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi neraka Jahannam dengan semua jin dan manusia (yang pada masa hidupnya tidak berusaha untuk beriman dan beramal soleh)”.” (As-Sajdah: 12-13)

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi, mereka itulah orang-orang yang lalai.” (Al-A’raaf: 179)

Sesungguhnya neraka itu menanti untuk disumbat ke dalamnya golongan-golongan syaitan daripada kalangan jin dan manusia. Golongan-golongan yang ketika di dunia mereka termakan pujuk rayu iblis laknatullah dan bersama-sama dalam jema’ah iblis, sesat lagi menyesatkan.

Dalam perlawanan yang tiada penghujungnya selagi usia dunia masih tersisa ini, kita berada dalam puak yang mana? Puak penjulang kebenaran, atau pembela kebatilan? Hizbullah (golongan Allah) atau Hizbusy syaitan?

“…ketahuilah! Bahawa puak Syaitan itu sebenarnya orang-orang yang rugi.” (Al-Mujaadalah: 19)

“…ketahuilah! Bahawa golongan Allah itu ialah orang-orang yang berjaya.” (Al-Mujaadalah: 22)

Kita harus membuat pilihan

Allah memberikan kepada manusia kemampuan untuk memilih. Memilih untuk mengikut jejak langkah syaitan, atau memilih mengikut ketetapan dan petunjuk daripada Allah. Petunjuk itu telah tersurat dalam kalam-Nya yang agung, dan dalam panduan Rasulullah SAW yang ulung. Jangan kita katakan bahawa petunjuk itu belum sampai kepada kita sehingga kita tidak dapat mengikutinya. Bahkan, kitalah sebenarnya yang telah mengabaikan petunjuk-petunjuk tersebut dan memilih untuk menyusuri jalan-jalan puak syaitan.

“Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya). Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa. Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan). Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).” (Asy-Syams: 7-10)

Maka kita harus memihak. Membawa hati kita kepada salah satu antara dua jalan yang diilhamkan, fujuur atau taqwa, hak atau batil, jalan Allah atau jalan iblis. Tidak ada istilah berkecuali bagi kita untuk selamat daripada siksa api neraka. Kita harus memihak. Sesungguhnya yang tidak memihak itu adalah golongan munafik, bukan memihak kebenaran, dan bukan pula memihak kebatilan. Hakikatnya, sifat munafik itu berada dalam kebatilan.

Hanya ada satu jalan sahaja untuk kita selamat daripada azab Allah, kita wajib berpihak kepada kebenaran dan petunjuk Allah. Wajib bagi kita memilih untuk bertaqwa. Wajib bagi kita memilih untuk mengingkari langkah-langkah syaitan. Jangan sampai kita merasa selamat dengan tidak berpihak. Jangan sampai kita merasakan berpihak itu tidak penting, sehingga kita sebenarnya direkrut untuk menjadi puak syaitan, penyembah iblis laknatullah.

Ayuh, lancarkanlah peperangan terhadap puak syaitan, julang tinggilah kebenaran, jauhkanlah diri kita daripada dijaring masuk ke dalam puak-puak syaitan, dan sentiasalah berwaspada agar kita tidak terpedaya dengan langkah-langkah golongan syaitan untuk menyesatkan umat manusia. Ya, golongan syaitan yang terdiri daripada kalangan jin dan manusia! Na’udzubillahi Min Dzaalik.

Wallahua’lam.

0 Terima Kasih Diatas Komen Anda:

Post a Comment

1st page google ranking

Tapak Iklan Untuk Disewa

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites