04 October 2012

Sarang Ponteng Budak Sekolah

KOTOR...laluan ke Taman Rimba Bukit Kerinchi, Pantai Dalam dipenuhi sampah-sarap




KUALA LUMPUR: Taman Rimba Bukit Kerinchi, Pantai Dalam, di sini, yang dibuka, baru-baru ini, kini menjadi lokasi kaki ponteng pelajar dari sekolah berhampiran untuk melepak.
Lokasinya yang terpencil dan jauh dari kesibukan jalan utama menjadikan kawasan berkenaan sunyi dan ini menyebabkan segelintir pelajar sekolah menengah dan rendah mengambil kesempatan ke situ.

Tinjauan Metroplus pada jam 11 pagi di taman rimba itu baru-baru ini, mendapati terdapat sekumpulan remaja mandi-manda dan berbual-bual sambil merokok di pondok di situ.

Ketika ditanya mereka mendakwa berusia 11 hingga 17 tahun dan semuanya berasal dari perumahan     berhampiran taman rekreasi berkenaan.                                  LEPAK...dua remaja dipercayai ponteng sekolah melepak
                                                                                                                         selepas mandi di Taman Rimba Bukit Kerinchi, Pantai Dalam.  


            Menurut mereka, ibu bapa masing-masing tidak mengetahui apa yang dilakukan kerana bekerja dan pemerhatian juga mendapati pada jam 1 tengah hari kumpulan remaja itu bergerak pulang sama seperti waktu tamat persekolahan biasa.

Peniaga, Muhd Saiful Adnan, 20, berkata, walaupun baru pertama kali ke taman rimba itu, namun dia agak kesal apabila mendapati kawasan itu menjadi lokasi kaki ponteng pelajar sekolah.
Katanya, lokasi yang jauh daripada kawasan perumahan selain tiada kawalan ketat di taman itu menyebabkan mereka bebas keluar dan masuk ke pusat rekreasi itu.

“Sekiranya tiada pengawasan di kawasan itu, kami bimbang pelbagai jenayah lain dilakukan remaja kerana tiada siapa sedar perbuatan mereka kerana ia jauh daripada pandangan masyarakat.
“Malah, saya dapati sudah banyak kerosakan dilakukan di tandas selain terdapat kecurian seperti kipas,” katanya.

Katanya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu bertindak lebih tegas menangani perkara ini bagi memastikan taman rimba itu terjaga dan memberi keselesaan kepada pengunjung.

Bagi Syed Ahmad Syuhaidi, 24, dia berkata, selain kawasan itu menjadi ‘port’ lepak pelajar yang ponteng, taman itu perlu diselenggara lebih baik bagi menarik orang ramai untuk berkunjung.

“Macam mana orang ramai hendak tahu kewujudan taman rimba ini kerana tanda lokasi tidak kelihatan, malah sepanjang laluan dari jalan utama pula dipenuhi sampah-sarap selain tiada bekalan air dan elektrik.

“Ramai kawan-kawan saya tidak tahu mengenai taman ini dan mereka terkejut sebaik mengetahui lokasinya terletak di Pantai Dalam,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Nasional, Prof Datuk Dr Mohamad Ali Hassan berkata, kerjasama semua pihak perlu bagi mengekang aktiviti ponteng di kalangan pelajar dan mereka berhak melaporkan kegiatan itu kepada pihak sekolah.

Katanya, kerjasama ibu bapa dan komuniti setempat melaporkan jika terdapat kejadian itu bagi rekod sekolah ia sekali gus mengekang perbuatan terbabit.

“Bagaimanapun, pihak sekolah juga boleh mengambil beberapa langkah untuk mengelakkan perkara ini berlaku antaranya dengan memanggil nama pelajar yang ponteng atau menaikkan nama pada laman web sekolah.

“Dengan ini, pelajar yang melakukan kesalahan itu sedar dan malu untuk mengulangi aktiviti tidak berfaedah,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, dasar ‘sifar ponteng’ juga perlu dilaksanakan kerajaan bagi menjadikan sekolah sebagai pusat ilmu seterusnya membudayakan pendidikan di kalangan pelajar.

Sementara itu, Pengurus Perancangan Korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Dr Ismail Stapa berkata, sekiranya kegiatan ponteng itu berlaku di kawasan selenggaraan mereka, pemerhatian akan dilakukan pihaknya, namun tiada tindakan diambil berikutan perbuatan itu bukan di bawah bidang kuasa mereka.

Katanya, sekiranya mereka tidak mengganggu atau melakukan perbuatan vandalisme, pegawai yang ditugaskan di satu-satu kawasan riadah tidak boleh melakukan tindakan kecuali menasihat mereka supaya berkelakuan baik.


0 Terima Kasih Diatas Komen Anda:

Post a Comment

1st page google ranking

Tapak Iklan Untuk Disewa

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites