Penasihat The Legendary Concert 2012, Zainal Abidin berkata, pihaknya mengambil keputusan menarik diri daripada membuat persembahan di Kuching kerana sambutan hambar peminat.
“Sekalipun konsert pembukaan di Kota Kinabalu pada 5 Mei agak memberangsangkan dihadiri seramai 2,000 penonton, maklum balas diterima daripada penjualan tiket di Kuching agak perlahan.
“Bagaimanapun beberapa lokasi lain tetap mengikut jadual asal. Setakat ini, sambutan diterima daripada beberapa lokasi seperti di Pulau Pinang, Johor Bahru dan Kuala Lumpur akan diteruskan,” katanya kepada Harian Metro, semalam.
The Legendary Concert 2012 menghimpunkan empat artis legenda tanah air berlainan genre seperti Jamal Abdillah, Datuk Sheila Majid, Zainal Abidin dan Amy Search.
Konsert julung kali diadakan di negara ini juga menghimpunkan pemuzik profesional serba-boleh dan berpengalaman luas bermain di luar negara diketuai pengarah muzik, Mac Chew bersama beberapa pemuzik percussion berwibawa, Steve Thornton, pemain gitar bass berpengalaman, Andy Peterson dan pemain saksofon, Jimmy Sax.
Ditanya Zainal mengapa sambutan kurang memberangsangkan, beliau berkata: “Penjualan tiket kurang mendapat sambutan kerana mentaliti peminat di Malaysia sudah biasa disogok dengan hiburan percuma. Jadi, ini adalah satu kesan akibat yang menjadikan mentaliti peminat hiburan di Malaysia suka melihat konsert percuma.
“Keadaan ini memberi kesan jangka panjang yang memberi kesan negatif kepada artis. Konsert ini memberikan persembahan ‘first class’ kepada peminat di Malaysia kerana segala-galanya disediakan pada tahap terbaik, baik dari segi pencahayaan, sistem bunyi, pemuzik dan lagu-lagu disampaikan yang mempunyai nilai dalam jiwa setiap peminat.
“Jika 20 tahun lalu konsert berbayar saya dan Sheila di Stadium Merdeka menarik seramai 40,000 peminat tetapi sekarang mentaliti peminat disajikan konsert percuma hingga mereka tidak mahu lagi membayar tiket untuk menyaksikan konsert berkualiti.
“Apa memberikan peminat semula apa yang mereka mahukan terutamanya muzik berkualiti serta menghiburkan dan pada masa sama, kami turut membuat kerja amal menyalurkan sumbangan kepada pihak memerlukan menerusi inisiatif menjayakan konsert menampilkan penyanyi legenda tanah air seperti The Legendary Concert,” katanya.
Selepas konsert The Legendary Concert 2012 membuka tirai di Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Kota Kinabalu minggu lalu, tiga lagi akan menyusul selepas ini.
Persembahan The Legendary Concert 2012 akan diadakan di Penang International Sports Arena Bayan Lepas (Pulau Pinang) pada 19 Mei diikuti Stadium Tertutup MPJB (Johor Bahru) pada 26 Mei.
Lokasi terakhir The Legendary Concert 2012 akan diadakan pada 30 Jun di Stadium Merdeka Kuala Lumpur.
Tiket untuk menyaksikan The Legendary Concert 2012 dijual pada harga RM100, RM200, RM300 dan RM600.
0 Terima Kasih Diatas Komen Anda:
Post a Comment