MENDENGAR lagu Andai Ku Bercinta Lagi yang kini hangat dimainkan di stesen radio Hot FM, ia pantas menangkap perhatian peminat berhibur. Kekuatan vokal penyanyi band memperkenalkan diri sebagai Mojo bersama genre slow rock mampu membuatkan pendengar jatuh cinta kali pertama bersama lagu ini.
Menariknya, lagu ciptaan komposer berpengalaman, Edry Abdul Halim ini baru mula promosi sejak awal bulan ini menjuarai Carta Hot FM 21 pada minggu lalu. Pencapaian ini suatu yang membanggakan buat empat anggota band ini dan membuktikan lagu ini diterima baik peminat.
Merujuk pada vokal mantap penyanyi lagu ini, Mojo tampil bertenaga mengetengahkan bekas peserta program realiti, One In A Million musim ketiga (OIAM3), Aweera bertindak sebagai vokalis.
Aweera berkata, sambutan lagu Andai Ku Bercinta Lagi dalam kalangan peminat ketika ini sangat memberangsangkan. Malah, dia juga gembira kerana masih ada peminat yang mengenali suaranya.
Aweera berkata, sambutan lagu Andai Ku Bercinta Lagi dalam kalangan peminat ketika ini sangat memberangsangkan. Malah, dia juga gembira kerana masih ada peminat yang mengenali suaranya.
“Penubuhan band ini bermula pada awal tahun ini. Selepas empat anggota bersatu dalam band, kami kemudian melakukan proses rakaman single, Andai Ku Bercinta Lagi pada Februari diikuti promosi sejak awal bulan ini.
“Sebenarnya, sejak awal band ini mempunyai matlamat menghasilkan lagu ciptaan setiap anggota untuk dimuatkan dalam album berkonsep EP (extended play).
“Band ini menampilkan saya sebagai vokalis bersama Denny bermain gitar, Johar (dram) dan Edry (keyboard). Edry menjadi pencetus awal pada idea menubuhkan band ini memberi peluang pada setiap anggota mencipta lagu sendiri.
“Buat masa ini kami sudah mempunyai empat lagu. Selepas ini, kami akan memperkenalkan lagu baru, Maafkan Aku ciptaan saya, Agar Tetap Indah (Denny) dan Mimpi (Johar),” katanya ketika hadir pada sesi fotografi di Balai Berita, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Aweera atau nama sebenar, Nasharul Aweera Norhissham menyatakan band ini kembali membawa nostalgia pendengar bersama lagu genre slow rock yang pernah menjadi fenomena pada zaman 80-an dan 90-an. Memberi kelainan tersendiri, band ini turut memperkenalkan lagu dihasilkan dengan genre synth-rock iaitu penggunaan elemen elektronik.
“Mojo bermaksud aura atau faktor X yang membawa bunyi muzik lebih besar. Pengenalan nama Mojo dipilih menerusi perbincangan antara empat anggota band ini.
“Saya sendiri berani tampil bersama band kerana saya melihat ketika ini ramai penyanyi muncul bersama band. Bukan bermakna penyanyi solo tidak boleh cari makan tetapi ia mengikut perkembangan semasa.
“Namun, saya tidak mempunyai masalah berjuang secara solo. Buat masa ini tiada karya solo dan saya mahu memberi fokus pada perjalanan bersama band ini,” katanya.
Sebagai band baru di bawah jenama KRU Studios, Aweera menjelaskan dia bersama tiga anggota band ini banyak meluangkan masa bersama untuk saling memahami satu sama lain dan mencari keserasian.
“Sebelum ini saya pernah menganggotai band lain dikenali Bintang. Namun, apabila karier saya bermula bersama Mojo, band ini berehat seketika untuk saya lebih fokus.
“Apapun, saya bersyukur atas sokongan peminat sejak OIAM3 sehingga kini. Sokongan ini membuatkan saya rasa dihargai walaupun tiga tahun menyepi dari industri hiburan.
“Sebelum ini saya bukan merajuk tetapi mencari peluang untuk kembali dengan kelainan. Sebelum ini muzik saya lebih pada rock tetapi ia bukan halangan membawa pelbagai genre lain seperti synth-rock,” katanya.
Mengambil semangat band rock popular antarabangsa seperti Led Zeppelin, Queen, Aerosmith termasuk Search dan Wings sebagai sumber inspirasi dalam berkarya, Mojo mahu menjadi pencetus pengenalan band genre baru, synth-rock di arus muzik perdana.
“Lagu Andai Ku Bercinta Lagi diinspirasi dari kisah benar rakan Edry sendiri melalui pengalaman isterinya meninggal dunia kerana kanser. Ia mengisahkan bagaimana kasih sayang suami pada arwah yang masih kuat.
“Mengikut perancangan, empat lagu baru siap pada pertengahan Mei ini sebelum kami muncul dengan album penuh menampilkan antara 10 hingga 11 lagu pada penghujung tahun nanti.
“Saya percaya masih ramai peminat yang sukakan lagu berentak slow rock dan kami akan melancarkan single di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur pada 22 Mei nanti selepas terbabit satu persembahan di Universiti Multimedia (MMU) Cyberjaya pada 9 Mei (esok),” katanya.
0 Terima Kasih Diatas Komen Anda:
Post a Comment