07 May 2012

Persandingan bersejarah Watie, Azza


Terbaik


KONGSI bahagia. Dari kiri: Azlan dan isteri, Azza berkongsi majlis persandingan dengan Watie dan Joey pada 1 Mei lalu.


JARANG kita saksikan dua artis disandingkan di atas satu pelamin secara serentak. Hakikat ini terjadi kepada anggota kumpulan Elite, Watie dan Azza yang selamat melangsungkan majlis persandingan mereka pada 1 Mei lalu.
Majlis yang sederhana tapi meriah dengan kehadiran keluarga terdekat kedua-dua pasangan mempelai itu diadakan di kediaman Setiausaha Akhbar Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Ruhaidini Abd. Kadir di Bandar Baru Bangi, Selangor.
Sebelum ini, Watie atau nama sebenarnya Norwati Sadali, 35, bernikah dengan pasangannya yang merupakan bekas penyanyi kumpulan Exist, Zulkifli Daud atau Joey, 38, pada tarikh 22 Disember tahun lalu di rumahnya di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur.
Azza atau nama sebenarnya Nor Azzarima Zawari, 34, pula bernikah dengan pasangannya, Azlan Zulaily, 25, di Masjid Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur pada 1 April lalu.
Dedah tarikh nikah
Menurut Watie, majlis itu sememangnya ditunggu-tunggu ramai pihak memandangkan sebelum ini dia menjanjikan akan mendedahkan tarikh sebenar pernikahannya dengan Joey yang selama ini menjadi tanda tanya.
“Pada mulanya saya ingin mengumumkan perkara ini pada tarikh 7 Julai sempena persandingan saya sekali lagi dengan Joey, tapi adalah lebih elok untuk saya khabarkan berita ini lebih awal,” katanya.
Kontroversi hubungan Watie dan Joey mula tercetus apabila mereka didakwa menjalin hubungan cinta sejak bertemu ketika penggambaran drama bersiri Blues Pasar Tani pada Mac tahun lalu di Muar, Johor.
Joey berpisah dengan bekas isterinya, Noraini Mohamad Nasir, pada 8 Ogos tahun lalu dan dikurniakan seorang anak perempuan, Zidani, 5, manakala Watie pula mempunyai seorang anak lelaki, Ahmad Afif Danial, 8, hasil perkahwinan sebelum ini.
Watie dan Joey akan bersanding sekali lagi pada 7 Julai ini di Mydin Subang Jaya, Selangor sempena festival perkahwinan yang berlangsung pada waktu itu.
“Jemputan kali ini terhad, kami minta maaf banyak-banyak, Insya-Allah pada 7 Julai nanti kami menjemput semua pihak hadir sama.
“Pihak penganjur sebenarnya yang mahukan ada persandingan pasangan pengantin sebenar ketika festival pengantin itu kelak. Pada hari itu akan ada adat istiadat lengkap perkahwinan,” tambah Watie.
Ditanya mengenai majlis pernikahan Watie dan Joey yang khabarnya dijalankan secara mengejut, jawab Joey, semuanya telah dirancang sebulan awal bersama keluarga dan adik-beradik Watie.
“Majlis akad nikah di rumah Watie hanya diketahui oleh saya dan keluarga kedua-dua belah pihak. Sengaja saya rahsiakannya daripada pengetahuan Watie supaya perkara itu tidak nampak terlalu serius,” ujarnya.
Watie hanya diberitahu oleh kakaknya sejam sebelum rombongan majlis bertandang ke rumahnya. Jadi sebaik mengetahui bahawa dia akan bernikah dalam masa sejam, dia hanya mengenakan pakaian dan solekan serba ringkas.
“Perasaan ketika itu bercampur-baur! Tak boleh marah dan tak boleh menangis. Memang sebelum ini Joey ada melamar saya ketika sambutan hari jadi (21 April 2011) tapi tidak sangka pula dia buat kejutan sebegitu sekali lagi sewaktu kami mahu bernikah,” katanya yang diwalikan oleh Mohd. Norazly Sadali.
Pasangan Watie dan Joey sebelum ini telah memilih lokasi Pulau Redang, Terengganu untuk lokasi bulan madu selepas bernikah.
Tugas baharu Azza
Sementara itu, bagi pasangan pengantin yang baru melangsungkan perkahwinannya pada 1 April lalu, Azza dan Azlan berkongsi perasaan setelah bergelar suami isteri.
“Alhamdulillah seronok, masih rasa seperti pengantin baharu tambahan pula dengan majlis persandingan kali ini yang saya rasakan amat bermakna bagi saya dan Watie,” jelas Azza.
Bagi Azlan, ada pengorbanan yang perlu dia tempuhi demi menjaga kerukunan rumah tangganya yang baru bersemi.
“Setiap hari saya akan balik ke rumah, tak kira penerbangan saya domestik atau antarabangsa. Biasanya pada sebelah pagi Azza yang akan menghantar saya ke lapangan terbang sebelum dia ke lokasi penggambaran dan menjemput saya pada sebelah malam,” cerita Azlan yang merupakan seorang pramugara.
Azza dan Azlan juga akan melangsungkan persandingan mereka sekali lagi pada 16 Mei ini bertempat di Mydin Meru Jaya, Ipoh, Perak.
Untung kedua-dua pasangan ini kerana percutian bulan madu mereka ke Pulau Tioman, Pahang ditaja sepenuhnya oleh Ruhaidini.
Sumber diambil dari :http://www.kosmo.com.my/

0 Terima Kasih Diatas Komen Anda:

Post a Comment

1st page google ranking

Tapak Iklan Untuk Disewa

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites