12 August 2012

Hafiz, Adira tunggu peminat

MESRA...tiada sengketa antara mereka.

MEMPUNYAI sejarah hubungan sebagai kekasih namun putus di tengah jalan, bukan penghalang buat dua penyanyi kelahiran program realiti Akademi Fantasia ini digandingkan dalam satu sesi fotografi.

Lokasi KL Sentral dipilih untuk memberi mood balik kampung kerana seorang akan pulang ke Sabah dan seorang lagi Sarawak.

Gembira...tidak sabar untuk beraya dikampung





Pelantun lagu Ombak Rindu untuk filem Ombak Rindu ini bersikap profesional dan masih bersahabat baik, tidak pernah ada sengketa antara mereka berdua.

Malah, masih seperti dulu saling mengusik dan bergurau senda. Adira, naib juara AF8 dan Hafiz, juara AF7, mula bercinta akhir 2010 tetapi mereka berpisah awal tahun ini.

Adira kelihatan kurang bermaya ketika tiba di Studio NSTP. Jelas kelihatan wajahnya yang letih dan mata sembab kerana kurang tidur. Dia hanya sesekali mampu tergelak apabila diusik Hafiz.

Adira atau nama penuh, Siti Adira Suhaimi, 21, mengakui tidak sabar-sabar mahu pulang ke kampung halaman menyambut raya bersama keluarga kerana belum pernah beraya di perantauan sejak bergelar artis.

Sesibuk mana pun, kata penyanyi yang popular dengan lagu Ku Ada Kamu, hari raya digunakan sebaik-baiknya untuk bersama-sama dengan keluarga.

Katanya, dia hanya pulang ke kampungnya di Kundasang, Sabah sehari sebelum raya lantaran jadual penggambaran yang padat. Cuti juga tidak panjang, hanya seminggu tetapi tetap bersyukur diberi peluang menyambut Aidilfitri bersama keluarga.

“Kali ini cuti sangat singkat tetapi seperti tahun lalu juga, saya akan mengadakan rumah terbuka. Saya bukan jenis suka jalan beraya di rumah orang. Lagi suka duduk di rumah dan menunggu orang datang.

“Sebelum puasa lagi, dua pasang baju raya sudah saya sediakan, warna hitam dan hijau. Empat tahun bergelar artis, tahun ini tahun ketiga saya memberikan duit raya,” katanya sambil tersenyum manis.

Anak pasangan Rujinah Sarungin dan Suhaimi Rajiman ini mengakui lebih suka duduk di rumah kerana sering berdepan masalah cirit-birit pada hari raya pertama.

Dia tidak tahu punca penyakit itu dan menyifatkan mungkin kerana perutnya ‘terkejut’ memproses makanan yang banyak.

“Tidak ada kelainan menyambut hari raya di Sabah, sama saja seperti di Semenanjung kerana ketupat serta rendang juga menjadi juadah ketika Syawal,” katanya.

Anak kelahiran Kuching, Sarawak, Hafiz pula masih teringat ketika zaman remajanya dia dan rakan mencari ‘palam pencucuh’ kereta untuk dibuat mercun.

Katanya, hanya anak zaman ini yang bermain mercun dan mungkin hanya mengenal meriam buluh menerusi gambar.

Merancang mengadakan rumah terbuka, Hafiz atau nama penuh, Mohd Hafiz Mohd Suip, 22, bakal kembali ke Kuching pada 13 Ogos bagi membantu persiapan terakhir sebelum perayaan.

Memilih baju Melayu warna merah dan jingga tahun ini, Hafiz sempat berseloroh akan ke Kundasang untuk beraya dan Adira hanya mampu membalasnya dengan senyuman.

“Perkara paling seronok mengenai raya adalah dapat berkumpul dengan keluarga. Kami pernah mengadakan hari keluarga secara besar-besarkan ketika Syawal dua tahun lalu.

“Semua keluarga yang tinggal di Singapura dan Brunei juga datang sama-sama memeriahkan sambutan itu. Sangat seronok kerana saya mengenali keluarga jauh dan baru tahu ada cucu.

“Tiba-tiba ada budak kecil panggil saya Atok, terkejut tapi tahulah itu keluarga saya juga,” katanya yang berharap akan ada lagi perjumpaan seperti itu.

Berkongsi kisah duka setiap kali menyambut hari raya, walaupun neneknya meninggal pada 2001, Hafiz masih berasa kehilangan, terutama sekali pada pagi raya.

Bercerita mengenai projek terkini, penyanyi yang mencatat kejayaan besar di Anugerah Juara Lagu menerusi Noktah Cinta dan Awan Nano berkata, dia baru selesai merakam lagu Muara Hati untuk runut bunyi drama Adam Hawa duet bersama penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza.

“Sangat senang bekerjasama dengannya. Kita selalu mendengar pujian orang mengenai dirinya yang lemah lembut, rendah diri dan sederhana. Saya setuju dengan semua itu kerana memang betul dia seperti itu.

“Sering saya berasa tubuh menggeletar serta lutut sangat lemah apabila melihat Siti masuk ke dalam bilik rakaman, apatah lagi ketika itu saya merakam lagu,” katanya.

Turut berlakon dalam episod Fitnah dalam Tanah Kubur, Hafiz berkata, dia lebih suka dikenali sebagai penyanyi berbanding berlakon kerana seni suara adalah sesuatu yang diminatinya.

Bukan tidak mahu menerima tawaran berlakon, namun penyanyi berusia 22 tahun itu tidak meletakkan fokus pada bidang lakonan. Dia juga mahu melihat pada jalan cerita dan watak sebelum menerimanya.


Adira cuba berlakon

WAJAH Adira yang putih gebu nampak tidak bermaya dan letih. Rupa-rupanya pemenang tempat kedua AF8 itu sibuk menjalani penggambaran drama bersiri. Pertama kali berlakon, Adira masih dalam proses menyesuaikan diri dengan jadual penggambaran.

“Saya kini sibuk menjalani penggambaran drama bersiri Tiara untuk Astro Ria. Mungkin akan ditayangkan hujung tahun ini menggantikan Juwita. Saya memegang watak Tiara bergandingan dengan Aliff Aziz.

“Memang rasa macam mimpi menjadi kenyataan kerana saya pernah menyimpan hasrat untuk berlakon tetapi tidak terpilih kerana bahasa saya sangat kedengaran loghat Sabah.

“Mulanya saya tidak terfikir untuk hadir uji bakat Tiara, tetapi pihak pengurusan meminta saya mencuba nasib. Sebab bahasa semakin baik sekarang,
saya berfikir apa salahnya kalau mencuba,” katanya yang diberi watak gadis lembut dan baik hati tetapi menjadi mangsa perceraian ibu bapanya.

Kata Adira, dia bukan hanya berlakon dalam drama bersiri Tiara, tetapi juga muncul dalam episod Pengkid

dalam Tanah Kubur. Tidak mahu menolak rezeki yang datang, Adira berkata, berlakon antara cara mengembangkan bakat selain mencabar dirinya kerana seseorang tidak pernah tahu apa yang ada dalam dirinya jika tidak mencuba.

“Ia perkara baru buat saya. Memang sangat letih, saya sangat seronok. Walaupun berjinak-jinak dalam bidang lakonan, nyanyian masih menjadi fokus utama,” katanya.





0 Terima Kasih Diatas Komen Anda:

Post a Comment

1st page google ranking

Tapak Iklan Untuk Disewa

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites