04 January 2013

Keagungan masjid lumpur

MASJID Besar Djenne menjadi tumpuan penduduk sekitar untuk beribadat.

DJENNE merupakan sebuah kota purba yang terletak berhampiran delta Sungai Niger di wilayah Mopti di Republik Mali.

Sejak kewujudannya pada kurun kesembilan, ia pernah menjadi pusat perdagangan dan perkembangan ilmu Islam khususnya ketika pemerintahan empayar Songhai, Sonni Ali.

Salah satu tarikan di kota itu ialah Masjid Besar Djenne yang dipercayai dibina pada kurun ke-13.

Diceritakan pada asalnya masjid itu merupakan sebuah istana dan dijadikan masjid selepas pemerintah Mali ketika itu, Sultan Koi Kunburu memeluk agama Islam.

Pemerintah seterusnya, Sheikh Amadou Lobbo yang menawan Djenne semasa Perang Tukulor, mengarahkan masjid asal dirobohkan pada 1834. Dia kemudiannya merancang sebuah masjid baharu berhampirannya pada 1896.

Bagaimanapun, penjajah Perancis yang berkuasa selepas itu telah mengarahkan pembinaan semula Masjid Besar Djenne di lokasi asalnya pada 1906.

Seorang arkitek tempatan, Ismaila Traore telah diberi tanggungjawab tersebut.

Menggabungkan gaya seni bina Islam dan Sudan, Masjid Besar Djenne tampak unik kerana tidak menggunakan konkrit sebaliknya lumpur sebagai bahan asas binaannya.

Memandangkan kedudukannya yang terletak berhampiran delta Sungai Niger yang sering dilanda banjir, Ismaila telah membina pelantar tinggi berkeluasan 5,625 meter persegi sebagai tapak masjid.

ELEMEN seni bina Islam dan Sudan menyerlahkan keindahan masjid yang berusia lebih satu abad itu.
 Bahagian tiang-tiang masjid menggunakan blok lumpur kering sebelum dilapisi dengan lumpur basah bagi memastikan ia kelihatan licin dan halus.

Dindingnya pula mempunyai ketebalan yang berbeza antara 0.4 meter hingga 0.6 meter.

Dahan pokok palma turut dimasukkan ke dalam binaan dinding bagi mengurangkan rekahan akibat perubahan mengejut suhu di samping bertindak sebagai tangga ketika kerja-kerja penyelenggaraan dilakukan setiap tahun.

Kiblat masjid itu ditanda oleh tiga menara besar berbentuk segi empat yang dibina lebih tinggi daripada dinding utama.

Menara yang puncaknya seperti kon itu juga turut dilengkapi tangga berputar yang menghala ke arah bumbung masjid.

Ruang solat

Umumnya, terdapat dua ruang solat utama disediakan iaitu ruang terbuka dan ruang tertutup.

Ruang tertutup yang mampu memuatkan kira-kira 3,000 jemaah disokong oleh 90 buah tiang merentasi dewan sembahyang bagi memastikan ketahanan strukturnya.

Aspek pengudaraan dan pencahayaan juga diberi penekanan pada ruang itu bagi keselesaan jemaah. Beberapa buah lubang udara turut dibina bagi menyalurkan udara bersih di samping penggunaan kaca seramik sebagai pencahayaan semula jadi.



KIRI: Setiap tahun ratusan sukarelawan berkumpul dan melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di kawasan masjid.

Biarpun, Djenne jarang menerima hujan, Ismaila turut membina corong bagi mengalirkan air daripada bahagian bumbung ke longkang bagi mengelakkan dindingnya daripada diresapi air.

Masjid Besar Djenne berjaya disiapkan pada 1907, iaitu setahun selepas pembinaannya. Di samping menjadi ruang beribadat penduduk sekitar ia juga menjadi antara mercu tanda di Republik Mali.

Setiap tahun, sebuah pesta khas yang meraikan budaya dan muzik tempatan iaitu Festival Crepissage dianjurkan berdekatan dengan masjid itu. Ratusan penduduk di bandar tersebut berkumpul dan melakukan kerja-kerja penyelenggaraan masjid secara sukarela.

Pada 1988, Masjid Besar Djenne telah diangkat sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu.

0 Terima Kasih Diatas Komen Anda:

Post a Comment

1st page google ranking

Tapak Iklan Untuk Disewa

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites