04 January 2013

Usaha Zoo Negara biakkan haiwan




PADA pandangan mata kasar, tiga ekor gajah di Zoo Negara, Hulu Klang, Selangor itu sama seperti gajah-gajah lain baik di dalam zoo mahupun yang tinggal di hidupan liar.

Namun, bagi penjaga haiwan tersebut, Mohd. Hisham Ahmad, 30, dan Alias Ismail, 36, yang setiap hari menjaga serta memberi makan dapat mengesan perbezaan antara ketiga-tiga gajah itu.

Tiga ekor gajah Zoo Negara terdiri daripada seekor jantan dan dua ekor betina masing-masing diberi nama Bol serta Siti, manakala yang jantan dipanggil Triang.

“Memang apabila melihat gajah-gajah ini tiada beza dengan gajah-gajah lain tetapi jika diperhatikan, boleh melihat terdapat perbezaan ketara.

“Pergerakan Bol lebih ayu dan lembut berbeza dengan Siti yang kelihatan kasar. Siti pun ada gading kecil,” kata Mohd. Hisham ketika ditemui di Zoo Negara baru-baru ini.

Celah Alias, terdapat gelaran yang diguna pakai bagi gajah jantan yang memiliki ciri-ciri betina seperti tiada gading di seluruh dunia iaitu Makna.

Bukan sahaja sifat fizikal tetapi kecenderungan seksual Siti turut menjadi persoalan kerana gajah yang berasal dari Fraser Hill, Pahang itu tampak cemburu setiap kali Triang dan Bol hendak mengawan.

Kata Timbalan Pengarah Zoo Negara, Dr. Muhamad Danial Felix, 46, Siti akan menolak Triang apabila gajah jantan itu mahu ‘menunggang’ Siti.

Ketika mula-mula Mohd. Hisham bekerja sebagai penjaga seksyen gajah, dia hanya diberitahu mengenai perkara tersebut oleh pekerja yang lebih senior, namun selepas setiap hari bersama Triang, Bol dan Siti, perlakuan itu dapat diperhatikan.

Maka, pihak Zoo Negara kini sedang membina kandang baharu untuk ketiga-tiga gajah tersebut supaya apabila Triang dan Bol mahu mengawan, Siti boleh diasingkan.

Gajah merupakan salah satu haiwan yang dalam perancangan Zoo Negara untuk dibiakkan pada tahun 2013. Haiwan daratan terbesar itu mempunyai masa bunting yang panjang iaitu sekitar 18 hingga 22 bulan.

ZOO NEGARA mempunyai lebih kurang 500 spesies dalam koleksi haiwannya.
Program konservasi

Zoo Negara merupakan satu-satunya zoo yang mengadakan Program Konservasi Pelepasan Burung Botak Upeh (Mycteria cinerea) di Kuala Selangor, Selangor dan Kuala Gula, Perak.

Taman haiwan yang dilancarkan pada 14 November 1963 itu juga telah berjaya membiakkan empat spesies burung enggang iaitu enggang papan (Buceros bicornis), enggang badak (Buceros rhinoceros), enggang jambul hitam (Aceros corrugatus) dan enggang belulang (Anthtracoceos albirostris).

Kata Muhamad Danial, burung enggang merupakan haiwan yang bersifat monogami sepanjang hayat menyebabkan pembiakan amat mencabar dan ia juga menjadi fokus pada tahun ini.

Selain gajah, orang utan turut menjadi fokus pada tahun ini untuk dibiakkan. Orang utan mempunyai kepandaian yang hampir dengan manusia.

“Kami boleh memasang jantan dan betina tetapi orang utan mempunyai sifat memilih dalam mencari pasangan. Jika tidak berkenan boleh menyebabkan si jantan memukul pasangannya,” terang Muhamad Danial.

Ular sawa juga perlu teliti dalam menjodohkan jantan dan betina untuk pembiakan kerana jika tidak mempunyai saiz yang sama, ular bersaiz besar akan membaham yang kecil.

Tapir, harimau dan binatang seperti rusa pula boleh membiak setiap tahun.

Zoo Negara menggunakan kaedah pembiakan normal untuk semua haiwan yang terdapat di situ yang memiliki lebih kurang 500 spesies.

Menurut Muhamad Danial, terdapat juga beberapa kes di Zoo Negara apabila haiwan mahu melakukan proses pembiakan terbantut disebabkan binatang-binatang itu tidak tahu caranya.

Dalam kurungan

Apabila sampai musim mengawan, kura-kura gergasi Aldabra (Geochelone gigantea) mengeluarkan bunyi yang terlalu kuat sehingga kedengaran ke pintu masuk utama Zoo Negara tetapi masalah terjadi apabila organ pembiakan jantan tidak masuk ke dalam organ pembiakan betina.


Syawal, bayi badak air yang berumur empat hari ini berenang bersama ibunya, Kibu. Dilahirkan pada 1 Syawal tahun lalu, Syawal hanya sempat hidup selama dua bulan sebelum disahkan mati akibat jangkitan virus.
 Masalah tersebut turut berlaku pada badak sumbu putih (Ceratotherium simum).

“Perkara tersebut berlaku kerana haiwan-haiwan itu membesar dalam kurungan,” terang Muhamad Danial lagi.

Dia menambah, jika mahu membiakkan haiwan di Zoo Negara supaya populasi terutamanya yang terancam boleh meningkat merupakan perkara yang boleh dilakukan.

Namun, terdapat beberapa hal yang mengekang pembiakan berterusan untuk dilakukan seperti makanan dan kawasan peliharaan.

“Sebagai contoh, harimau. Haiwan ini boleh dibiakkan setiap tahun tetapi Zoo Negara mempunyai keluasan terhad dan tidak membesar akibat pembangunan sekeliling.

“Mengikut Akta 716, setiap harimau mesti mempunyai keluasan tertentu. Jika ia tidak diikuti boleh menyebabkan lesen zoo ditarik,” ujarnya.

Spesies seperti rusa yang mudah membiak juga memberi masalah secara tidak langsung kerana memerlukan makanan yang banyak, kenaikan harga tiket merupakan salah satu cara untuk menangani perkara tersebut.

Selain itu, perkara berkaitan seperti sarang atau kawasan kurungan juga memainkan peranan seperti hal yang berlaku pada buaya jenjulung.

Cerita Muhamad Danial, haiwan tersebut sudah lama berada di Zoo Negara tetapi tidak pernah membiak.

Secara kebetulan sekitar tahun 2005, penjaga kurungan zoo tersebut jatuh sakit menyebabkan sarang buaya itu terbiar dan tidak dibersihkan.

“Daripada situ kami dapati ada sesetengah haiwan yang memerlukan sarang yang kotor untuk membiak seperti buaya jenjulung apabila didapati sang betina bunting.

“Pembiakan haiwan memerlukan pemerhatian dan kajian yang panjang dan dalam masa yang sama, kami menjalankan program pendidikan kepada pengunjung dengan memberi penerangan,” terangnya sebagai cara apabila terdapat aduan daripada pengunjung mempersoalkan tahap kebersihan Zoo Negara.

Binatang-binatang yang lahir di dalam zoo juga tidak mudah untuk dilepaskan ke dalam hutan kerana ia sukar mengadaptasi dengan persekitaran.

Sesetengah zoo juga ada memberikan vaksin pada haiwan dalam kurungan, ia boleh menyebabkan jangkitan penyakit kepada spesies sama dengannya dalam hidupan liar jika dilepaskan begitu sahaja.

HARIMAU bintang betina ini antara haiwan yang dalam proses dipasangkan.

Ekosistem hutan juga boleh terganggu jika bilangan haiwan tertentu bertambah mendadak seperti harimau.

Sehubungan itu, terdapat beberapa perkara yang perlu diteliti sebelum pembiakan dibuat seperti usia haiwan dalam kurungan.

Penukaran haiwan

Setiap haiwan yang berada dalam kurungan mempunyai fail yang mengandungi maklumat keturunan, tarikh lahir, rekod kesihatan dan negara asal.

Rekod tersebut penting supaya haiwan-haiwan dalam kurungan tidak berlaku pembiakbakaan dalam yang boleh menyebabkan penyakit genetik berlaku.

“Haiwan juga berbeza dengan manusia. Binatang-binatang yang dibiakkan perlu mempunyai asid deoksiribonukleik (DNA) tulen tanpa ada kacukan,” ujarnya.

Selain itu, pembiakan haiwan dibuat apabila terdapat program kerjasama penukaran haiwan dengan zoo-zoo luar negara.

Buat masa ini, pihak Zoo Negara sedang dalam program penukaran haiwan dengan zoo di India. Pihaknya akan menyerahkan zirafah sebagai tukaran harimau putih.

Ketika lawatan di Zoo Negara, terdapat dua ekor anak zirafah yang diberi nama MAS Beacon dan MAS Sinaran sedang asyik menikmati makanan manakala seekor lagi zirafah betina sedang bunting.

Tambah Muhamad Danial, semua haiwan yang dilahirkan tidak boleh dipamerkan serta-merta kepada umum mahupun untuk dirakam.

Anak-anak haiwan perlu menjalani proses latihan paling singkat selama enam bulan bergantung pada tahap kepandaian spesies haiwan.

0 Terima Kasih Diatas Komen Anda:

Post a Comment

1st page google ranking

Tapak Iklan Untuk Disewa

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites